Tuesday, October 16, 2012

Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan Abang....♥

8 tahun lalu Allah temukan kita
sejak 8 tahun lalu kita terus di duga
kita bersama kerana takdirNYA
kita kan berpisah hanya kerana penetuan dariNYA

8 tahun aku dididik oleh ilmu mu
8 tahun aku dibentuk oleh sikapmu
8 tahun aku dijaga oleh sayangmu
8 tahun aku dihibur dengan guraumu
8 tahun aku dipuji dari kritikanmu
8 tahun, aku kini telah jadi lebih baik dari dulu

8 tahun yang berlalu abang, aku masih mencintaimu
semoga cinta ini adalah kerana Allah yang telah meminjamkanmu untukku,

SELAMAT HARI ULANGTAHUN PERKAHWINAN ABANG 

Monday, October 15, 2012

KISAH BENAR: SECEBIS CERITA DUKA DARI GANGNAM


Malam tadi setelah keluar dari masjid seusai selesai solat Isyak di masjid berdekatan dengan rumah, saya berjalan kaki seorang diri pergi ke sebuah kedai makan untuk makan malam. Pengunjung di kedai makan yang saya tuju itu agak ramai dan boleh dikatakan hampir kebanyakan meja di kedai tersebut sudah penuh. Saya memilih untuk duduk di salah sebuah meja di bahagian paling hujung seorang diri yang ketika itu tiada orang di meja tersebut. Apabila pelayan datang saya pun memesan makanan yang saya mahu. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut pergi datanglah pula seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam gaya wanita Arab ke meja saya seraya bertanya,

"Tuan, boleh saya duduk di sini..? Kamu lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.."
"Oh, ok.. tak mengapa. Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut dengan sapaan gadis itu. Perbualan kami dalam bahasa Inggeris.

Kemudian pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan 'fresh orange' untuk minuman. Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri bertanya kepadanya dengan rasa pelik, "Kamu seorang diri sahaja? Dan kamu kelihatan bukan orang Malaysia, bukan?"

Dia mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya lalu menjawab dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya ingin ke rumah seorang kawan.."

"Oh Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang 'famous' dengan tarian Gangnam Style.." jawab saya spontan bersahaja sambil tersenyum dan menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu kembali ke telefon pintarnya sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas skrin sesentuh dan kadangkala dia juga tersenyum seorang diri melayan sesuatu dari telefon pintarnya.

"Gangnam Style..? Apa yang kamu tahu tentangnya.. ia tarian yang dilaknat Tuhan. Saya menganggapnya diilhamkan oleh Iblis kepada artis itu." jawabnya dengan nada yang tegas dan berani.

"Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung perasaan kamu.." jawab saya serta-merta.

Perbualan terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira 15-20 minit pelayan kembali datang dengan membawa pesanan saya dan minuman gadis itu.

"Kamu mahu tahu apa yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya.

"Jika kamu berminat untuk bercerita kepada saya, saya akan mendengarnya…" jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup jus tembikai susu yang saya pesan.

"Ok sekejap beberapa minit, selepas saya membalas mesej-mesej ini.." jawabnya sambil jari-jemarinya ligat bermain di dada skrin telefon pintarnya.

Saya hanya mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan mula menyuap makanan dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa memakan dengan menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah SAW.

"Baik, sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik dan menakutkan." kata gadis itu kembali.

"Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang kamu ingin sampaikan kepada saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi.

Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu memulakan ceritanya kepada saya,

"Di Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan untuk gadis-gadis muda untuk menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda yang menyertai pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin mencuba nasib apabila gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja untuk menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan dengan hadiah yang sangat lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar seperti istana dengan kolam renang jika memenangi pertandingan tersebut."

Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman 'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa.

"Ok, kemudian..?" tukas saya lagi ingin tahu.

"Oh, ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu menceritakannya kepada kamu. Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar kamu dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi.

"Iya, sila sambung lagi... saya memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi.

"Ok... Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat pertandingan tersebut, para peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda yang cantik masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira 500 meter dari tempat para peserta berkumpul ke tempat pertandingan yang merupakan sebuah istana besar dan mewah milik seorang jutawan di Gangnam. Kamu bayangkan, mereka semuanya menunggang kuda dengan memakai kasut tumit tinggi, baju jarang dan skirt singkat yang seksi sambil diiringi pihak penganjur pertandingan dengan helikopter.."

"Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak penganjur di istana itu dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan melalui dua laluan yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan berhalangan untuk sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti pertandingan dalam rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV jika kamu pernah melihatnya. Setelah sampai di destinasi terakhir pula, para peserta yang berjaya dari dua kumpulan itu akan bertarung pula sesama sendiri. Jika pihak lawan tewas maka peserta yang masih bertahan akan dianggap sebagai pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan itu sangat berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya dengan memakai kasut tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan disorak oleh para jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari sebuah ruang balkoni bilik mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti ianya dirakam ataupun tidak."

"Terus-terang, ia adalah pertandingan membunuh diri yang paling gila…"

"Ok, kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa teruja.

"Satu ketika di salah satu trek, para peserta dikehendaki memanjat palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah menara di istana tersebut, palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada kolam renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati hidangan dan minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka."

"Ramai perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba memanjat palang-palang besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan kepalanya pecah. Ada yang patah tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya. Kolam renang tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh ke dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari kolam renang yang dalam tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak berupaya dan mereka sangat kasihan."

"Yang lebih keji daripada itu, mereka yang tercedera ketika itu langsung tidak dibantu.. malah dibiarkan sahaja untuk disorak dan ditertawakan oleh para jutawan yang melihat mereka sepanjang pertandingan. Akhirnya apa yang saya tahu, hanya dua orang gadis sahaja yang berjaya melepasi laluan itu daripada keseluruhan 30 orang gadis yang menyertainya... saya dikhabarkan walaupun dua gadis itu akhirnya berjaya, mereka kini hidup dengan trauma dan penuh ketakutan di sisi para jutawan gila tersebut. Mereka kini hidup seperti hamba di dalam istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada akhlak... hanya menjadi hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai hidup mereka sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah terjerumus ke sana tidak boleh lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba untuk lari kemungkinan mereka akan dibunuh."

Sampai di sini tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air matanya serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak.

Saya sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya,

"Hey, please don't cry here… people will look to us. Please calm down. I'm sorry so much to make you telling me this story…" kata saya kepadanya perlahan dengan suara hampir berbisik.

Namun saya membiarkannya dengan keadaannya itu untuk beberapa ketika. Kemudian saya berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan kamu menangis, tapi saya minta maaf banyak-banyak kerana disebabkan saya kamu menangis. Sebenarnya saya sangat terkejut mendengar cerita kamu. Ia sesuatu yang sangat dahsyat yang belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.."

"Ia ok... ia ok... ia ok... (sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Kamu tahu, salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika jatuh di pinggir lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri... Ibu saya membunuh diri kerananya dan bapa saya menjadi gila. Setelah ibu saya membunuh diri bapa saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya meninggal dunia."

Pada waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula tergumam dan tidak terkata apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya dalam-dalam lalu menyambung kembali kisahnya,

"Ibu-bapa saya hanya memiliki dua orang anak perempuan dan adik saya sudah menjadi mangsa kepada nafsu gila orang-orang kaya Korea."

"Sejurus selepas tamat pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang wanita yang memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana kemalangan dan saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu menyatakan dia mendapat nombor telefon saya daripada adik saya. Apabila saya dan ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami dikhabarkan adik saya telahpun meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan mendesaknya bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya... dan akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah ini kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah sebagai gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia adalah pilihan adik saya sendiri."

"Beberapa minggu kemudian ibu saya membunuh diri pada satu malam dengan menelan aspirin sebanyak 200 biji. Keesokan harinya ibu saya koma dan apabila saya dan bapa menghantarnya ke hospital, pada malam harinya dia meninggal dunia. Bapa saya pula selepas itu sakit jiwa sebelum mengalami sakit tenat yang membawanya meninggal dunia. Saya pula hidup tidak menentu dan mujurlah masih mempunyai seorang sahabat wanita beragama Islam yang terus berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan dengan tabah. Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan ini adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak akan berputus asa."

"Dan kerana itu saya melihat kamu kini sebagai seorang Muslimah..?" saya mencelah ceritanya.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah membawa saya berjumpa dengan seorang imam di bandar Seoul untuk memulihkan semangat hidup saya. Imam itu mula bercerita kepada saya tentang Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya menerima segala ajarannya dengan lapang hati seakan-akan ia satu-satunya pilihan yang ada. Benar, Islam adalah satu cahaya yang sangat terang seperti matahari dan mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup saya dan saya terus berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu. Dan kamu tahu tak, jiwa saya berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran yang berkumandang di ibu pejabat markaz Islam di bandar Seoul. Imam itu salah seorang ahli pengurusnya. Saya tidak pernah mendengar muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya."

Kini suara gadis itu kembali gagah seraya berkata, "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dan kembali dihidupkan semula sebagai seorang Islam setelah saya kehilangan segala-galanya akibat kekeringan jiwa masyarakat dunia terutama masyarakat Korea yang hidup sesat tanpa agama. Mereka semua telah sesat tanpa panduan hidup yang benar daripada Tuhan."

Setelah itu dia diam dan meminum minumannya...

"Kisah kamu amat menarik tetapi menakutkan. Adakah kamu sudah mengambil tindakan undang-undang bagi pihak adik kamu, atau melaporkannya kepada media atau berbuat sesuatu?" ujar saya kembali kepadanya.

"Lupakan sahajalah, saya sudah melaporkannya kepada pihak polis, sudah menceritakannya kepada beberapa orang wartawan dan melaporkannya secara bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak polis enggan melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh mengenainya. Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil kepada pihak berkuasa selain saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai. Wanita yang membawa adik saya ke hospital itu juga sudah menghilangkan diri. Saya cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya berali-kali namun dia tidak dapat dihubungi. Kali terakhir saya mendengar tentangnya melalui seorang peguam yang mendapat khabarnya daripada seorang detektif polis ialah dia sudah meninggal dunia akibat kemalangan. Para peguam lain dan wartawan yang saya ceritakan kisah ini kepada mereka kesemuanya telah diugut untuk tidak mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu juga yang terjadi kepada mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana pula menyatakan gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu adalah kerana rabung palang-palang besi di istana itu roboh ke bawah ketika mereka semua sedang berada di atasnya kerana ketika pihak polis sampai di sana palang-palang besi itu sudah pun dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang masih hidup setelah kecederaan masih mengalami trauma yang dahsyat dan ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka mendapat bayaran ganti rugi insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada pihak polis. Yang pasti di sana wujud monster-monster besar yang menutupi kes ini termasuk menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan wang dan kuasa. Dan sudah tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh buat pada kita." jawabnya lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan hujah.

"Oh, ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya dengar. Jadi sekarang berapa umur kamu dan mengapa kamu berada di Malaysia? Dan... apa yang kamu sedang buat di Malaysia sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih itu berlaku?" tanya saya bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih tahu.

"Kamu agak saya berumur berapa…?"

"Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa umur kamu."

"Kisah sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya tidak mahu sebut apa bulan dan harinya. Cukuplah kamu tahu ia berlaku pada tahun lepas. Kini saya berumur 29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana ingin cuba mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University dengan sahabat wanita Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu-janji dengannya untuk bertemu di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi menziarahi rakan kami orang Malaysia di kawasan ini. Saya sampai ke sini lewat sedikit dengan teksi.” jawabnya berterus-terang dengan nada jujur.

"Oh, kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai wanita yang berani naik teksi seorang diri pada waktu malam. Terima kasih kerana menceritakan kisah ini kepada saya.. saya amat menghargainya dan mudah-mudahan suatu hari Allah akan membalas dendam untuk kamu dan mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya..." kata saya lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk.

"Sudah tentu...! Suatu hari nanti semua orang dan dunia akan tahu mengenai kejahatan tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat itu!" tukasnya dengan nada yang keras.

"Kamu ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu menyukai cara hidup bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan dia pernah berasa tertekan dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah menjadi sebahagian daripada mereka. Semoga Tuhan melaknat mereka semua. Saya menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas segala kejahatan mereka."

"Whoa... kamu nampaknya sangat marah dengan Gangnam..." balas saya sambil mengangkat kedua-dua kening dan menyedut jus tembikai susu yang masih berbaki menggunakan straw.

"Oh, jangan kamu berpura-pura seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya.

"Tidak, tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah kamu. Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat kamu seorang yang tabah, kuat dan berani." balas saya kembali untuk menenangkannya.

"Oh ya, adakah kamu datang sini dengan biaya sendiri? Bagaimana dengan suami kamu dan kerjaya kamu di Korea?" tanya saya kepadanya dengan meneka-neka.

"Hahaha, saya masih belum bersuami dan saya telah menjual segala apa yang saya ada di Korea untuk datang ke sini. Saya mahu belajar bahasa Arab di sini dan merancang mahu ke Mesir atau ke Islamic Center di Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak tentang Islam di sana. Kamu juga tahu, Timur Tengah kini tidak stabil dan saya masih ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan saya itu pernah memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa Arab dan agama Islam di Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur." jawabnya dengan reaksi yang kembali ceria sambil tersenyum.

"Oh dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti Abu Nur." jawab saya.

"Oh benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria... saya bertuah bertemu dengan kamu." tukasnya teruja dengan muka yang sangat gembira.

Sesampainya di sini perbualan kami mula bertukar topik kepada isu Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain yang sudah tiada kena-mengena dengan Gangnam. Saya juga bercerita sedikit sebanyak tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai membalas kisah hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.

Lama juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30 malam rakan gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis itu meminta izin untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya dan memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah. Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka di bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya pula beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.

Kedua-dua mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak pernah menganut sebarang agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan mereka dengan agama Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita Sofiyyah tentang kisah yang berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran kisah tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada Allah. Namun saya berminat untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca agar para pembaca dapat membuat penilaian sendiri. Kisah tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar. Namun, di sebalik kisah yang saya pindahkan daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui sesuatu dan menjadikannya sebagai pengajaran.

Apa yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya melihat betapa Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang dikurniakan Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan negerinya dan menjual segala hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami Al-Quran, malah dia bercita-cita untuk terus mengembara bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah di negara Korea untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang yang amat berani, tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia seorang diri berani menyapa seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah tadi. Apa yang saya lihat padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya dan harapan hidupnya telah seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia telah menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah semata-mata. Di sebalik kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di belakangnya ada seorang murabbi mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang telah mengislamkannya. Biasanya di sebalik orang-orang yang hebat, di belakang mereka sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di dalam hati saya berkata sudah tentu peribadi sang imam itu lebih hebat lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih kuat sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihkan, mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak teruk seperti Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.

Sepanjang berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak tertanya-tanya di dalam hati betapa kita ini begitu leka dan tidak bersyukur dengan nikmat beragama Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita sejak kita dilahirkan ke alam dunia.

Di dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu Rabbi.... alhmdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya sekali-sekala menyepak batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket jubah putih kiri dan kanan seraya muka menunduk ke arah tanah...

Sehingga saat ini saya masih tetap berfikir sendirian, kisah Sofiyyah ini ialah apa yang saya dengar berlaku di negara Korea yang maju.. bagaimana pula dengan kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi pelacur kelas atasan di negara kita. Sudah tentu banyak juga kisah-kisah gelap yang tidak pernah kita dengar tentang mereka. Sebelum ini saya pernah juga mendengar mengenai kisah-kisah kongsi gelap di negara kita yang dilindungi oleh orang-orang besar.

Allahu Allah, betapa teruknya manusia menjadi hamba wang dan kuasa pada zaman ini... Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat...


[Kisah benar ini selesai ditulis semula pada: hari Ahad, 07 Oktober 2012, 10.55 AM]



Inilah ia konsert lagu Gangnam Style yang menjadi kegilaan muda-mudi Korea.. lihatlah betapa dahsyatnya pengaruh lagu dan tarian Gangnam Style ke atas mereka:

https://www.facebook.com/notes/mohamad-sidik/kisah-benar-secebis-cerita-duka-dari-gangnam/453937114659078

Tuesday, October 9, 2012

Ada ijazah, tak kerja, membazir ke?

Sejak dari sekolah rendah, ibu bapa saya sentiasa menyuruh saya mementingkan pelajaran. Mereka meletakan saya sebagai harapan keluarga. Mereka menyokong segala kemahuan saya selagi perkara itu menjurus ke arah pendidikan.

Sehinggalah saya berjaya ke peringkat Diploma, saya terhenti setakat itu, walaupun masih mempunyai minat untuk belajar. Mengapa ? Saya mengenangkan ibubapa yang sudah sangat berusia, saya mahu bersama dengan mereka sebelum saya berkahwin. Saya tidak mahu menambah beban hutang pinjaman pelajaran. Saya mahu buat sesuatu untuk saya dan keluarga sebelum saya membina keluarga sendiri.

Itu adalah saya. Bagi anda yang berjaya mendapatkan ijazah, Master, PHD , Tahniah dari saya. Anda sangat cekal.

Namun bagi seorang wanita, yang akhirnya berkahwin, dan akan menjadi surirumah bila suami kata "Its okay. Gaji abang cukup untuk sara kita dan anak-anak."

Saya pasti, ada yang gembira, ada juga yang menyimpan rasa. Gembira kerana dapat menjadi surirumah sepenuh masa, melihat perkembangan anak-anak di depan mata, dan tidak lagi berkejar-kejar kepenatan menguruskan rumah dan keluarga selepas seharian di tempat kerja. Mungkin ada yang menyimpan rasa seperti kerugian masa, menghabiskan sebahagian usia di universiti, tapi hanya sebentar saja mempraktikkan ilmu. Tak kurang juga yang mahu terus bekerja kerana mahu mempunyai pendapatan sendiri.

Itu adalah pendapat masing-masing.

Namun  adakah anda berasa rugi menyimpan ijazah dan lain-lain sebagai hiasan di rumah ? Kadang-kadang ada "makcik-makcik" yang akan berkata, " penat-penat dihantar belajar dulu, ko tak kerja dah? Duk rumah jer sekarang? Rugi jer mak ayah habiskan duit sekolahkan ko. Dah ada jawatan besar, lepas macam tu aje?"

Tiada kerugian walau sedikitpun. Ilmu yang kita dapat bukanlah hanya untuk sekeping kertas. Ilmu yang kita cari telah membentuk pemikiran dan peribadi kita hari ini. Siapa kita sebelum dan sesudahnya, pasti ada beza.

Mempunyai pengalaman ke universiti, kita boleh jadikan panduan dalam mendidik anak-anak kita. Bagi seorang ibu yang hidupnya duduk di rumah selalu, perlu juga punyai pengetahuan lain untuk mendidik dan membesarkan anak-anak. Dari ilmu yang kita ada, kita boleh bekalkan anak-anak kita dengan pengetahuan dan pengalaman yang kita ada supaya mereka lebih bersedia menghadapi perjalanan mereka.

Tiada runginya ilmu itu bagi seorang wanita yang duduk di rumah, kerana dia boleh menjadi isteri dan ibu yang sangat baik jika dia tahu mengaplikasikannya dalam menjaga kerukunan rumahtangga dan mendidik anak-anak.

Isteri yang berilmu, mampu membantu suami menguruskan rmahtangga, ibu yang berilmu mampu menjadi ibu yang membantu menyelesaikan permasalahan anak-anak. Besar manapun jawatan atau kedudukan kita semasa bekerja, besar lagi jawatan kita di rumah. Besar mana gaji yang kita dapat semasa berkerjaya, besar lagi ganjaran jika mampu masuk ke dalam golongan isteri solehah. ♥

Saturday, October 6, 2012

Pilihan yang baik, jangan ditangguh...♥

Sekali sekala tergoda juga hati melihat tudung yang cantik-cantik di laman muka buku. Setiap hari, pagi petang ada saja penjual-penjual tudung yang mempromosikan produk mereka. Saya fikir, "Kalau aku zaman dulu-dulu ni, mesti aku dah beli dah...."

Tapi hanya suka melihat corak tudung-tudung itu, itu saja. Bila membayangkan saya memakainya, hati rasa tak seronok. Tak mampu membayangkan diri bertudung cara itu lagi. Pilihan saya kini hanyalah yang satu warna dan yang berwarna gelap. Bagi saya ia sangat selesa dan mudah. Lebih-lebih lagi, kini mudah nak dapatkan tudung yang bermaterial tak perlu gosok dan siap ber"awning". Jadi, ia amat mudah bagi saya yang ulang alik keluar masuk rumah menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah.

Saya pernah melalui zaman di mana mementingkan penampilan. Walaupun gaya saya dulu bukan lah gaya yang seksi atau terlalu up-todate kata orang, namun saya selalu utamakan  warna dan corak baju yang menarik. Menarik bagi saya, menarik jugalah bagi orang lain. Saya juga suka mengenakan make-up nipis, yang walau pun tidak terlampau, tetapi tetap menarik perhatian lelaki.

Sewaktu saya di kolej dahulu, pernah saya berniat untuk menukar penampilan dari bertudung singkat dan bergaya, kepada tudung labuh ala-ala ustazah. Namun, niat saya itu terbantut kerana tidak ada seorang pun rakan sekeliling saya memberi sokongan ataupun dorongan. Saya mula-mula cuba juga tabahkan hati, namun, bila berada disekitar orang-orang yang tidak bersetuju dan kelihatan "tidak gembira" dengan perubahan yang saya ambil, saya terhenti setakat itu, 2 helai tudung yang telah siap dijahit kakak hanya terpakai 2-3 kali sahaja, dan kemudian tersimpan semula.

Dalam kegembiraan saya mengharungi "indah"nya remaja, hati ini masih menyimpan hasrat yang saya akan berubah juga satu hari nanti. Doa untuk terus tabah dan berusaha memperkukuh iman tak pernah putus dari hati saya. Setelah bertemu jodoh, dikurniakan zuriat, saya mula memperbaiki segala kelemahan saya sedikit demi sedikit.

Alhamdulillah.... syukur, masih saya sempat memperbaiki diri ini sebelum saya tiba ke hujung nyawa. Apa yang sekarang selalu terlintas difikiran saya, betapa syukurnya saya telah dapat menemukan apa yang saya cari selama ini. Selesanya bila kehidupan yang saya lalui seiring dengan hati. Ketenangan yang saya tak pernah temui di zaman "keseronokan" dulu, kini saya kecapi.

Sedarlah saya, walau tinggi manapun orang puji kita, walau banyak mana pun akuan kasih dan janji sayang manusia kepada kita, takkan mungkin sama dengan anugerah dan kuniaan Allah yang tak mampu saya hitung sejak berada di dalam rahim emak saya.

Sahabat sekalian, saya ini hanyalah seorang wanita yang punyai sejarah yang berbeza dengan keadaan saya kini. Namun saya mahu juga berkongsi pengalaman ini untuk membawa kita semua menyedari betapa hidup ini sebenarnya singkat, betapa ruginya kita menangguh perubahan ke arah kebaikan......

Penangguhan biasanya akan memberikan kesan tidak baik, dan penyesalan yang tidak sepatutnya berlaku. Bukannya satu keuntungan bagi kita mencari nikmat dunia, tetapi bila kita nekad mencari keuntungan akhirat, Allah telah berjanji yang kita tidak akan rugi.

Sesiapa yang telah terdetik dihati untuk berubah kepada yang lebih baik, ayuh! Jangan tunggu orang lain, jangan tunggu sokongan  atau dorongan lain, mintalah perlindungan dan bantuan Allah. Kita perlu tegas dengan diri sendiri.

Semoga jelas dihati kita semua apa yang kita mahu selama kita hidup di dunia ini. Mahu mengumpul harta dunia atau pun mengumpul amal, peneman di akhirat ?

Bertudung cantik untuk pujian rakan dan mata liar ataupun menutup aurat untuk mendapat redha Allah ? Sama-sama kita muhasabah diri...♥

Thursday, October 4, 2012

Airmata kasih Mama....♥

Sejak ramadhan tempohari, bergilir-gilir anak mama dihidapi chicken-pox, kesian betul mama lihatkan anak-anak mama.

Mula-mula ain, lepas tu atiqa, lepas sayeeda yang diikut rapat oleh afiqah... mama mula risau jika adik kecil juga menurut. Tiba-tiba mama dapati mama yang terjangkit, tapi tidak melarat. Mungkin kerana di saman sekolah rendah, mama dah dijangkiti.

bila mama lihat adik kecil si Maisarah tidak dijangkiti, mama berasa lega. Tapi semalam hati mama mula di duga.... Mama terlihat bintik-bintik merah dan mama dapati ada satu dua yang berair, Chicken Pox! Aduh....hati mama mula gundah gulana, rasanya mahu sahaja mama hentikan semua itu.

Hari ini, melihat bintik-bintik gelembung itu semakin banyak, di kepala, di muka, dibadan, di kaki dan di bahagian put put adik, aduh! Manitis airmata mama memikirkan kesakitan dan rasa gatal yang adik tanggung......

Selain menanggung semua itu, adik juga sedang menunggu gigi atasnya keluar! Kesian anak mama... banyak betul yang berlaku pada tubuh badannya dalam satu masa.......

Melihatkan adik masih mahu ketawa dan bermain,bergurau senda dengan mama, terubat juga hati ini. Tapi yang mama seronok, adik menujukkan banyak pemahaman baru.

Bila ayah balik kerja, adik dengan automatik hulurkan tangan untuk bersalam dengan ayah. Bila buka baju dan mama kata mandi, adik dengan cepat mengambil baju kotor adik dan memimpin tangan mama untuk masukkan baju ke dalam bakul....Ya Allah... dalam semua yang perlu kulihat itu, kau berikan juga aku kegembiraan.....

Sesungguhnya, anak-anak mama semua, percayalah, tidak ada kesakitan yang Allah berikan tanpa sebab.Setiap kesakitan akan diganti dengan kesembuhan, setiap kesedihan akan diganti dengan kegembiraan...jadi sentiasalah kita bersyukur dan banyakkan istighfar...

Wednesday, October 3, 2012

Cinta remaja ?

Cinta itu adalah anugerah buat kita, tapi jika disalah tafsir, disalahguna, disalah praktikal, ia boleh bertukar menjadi masalah. 

Cinta remaja selalu terlihat indah. Manis sahaja..... Seperti setiap kata akan terlaksana, setiap janji akan di kota, 

namun mahu saya bertanya, mampukah kita mengawal masa depan yg tak terjangkau ? sedangkan sesaat kehadapan juga kita tak tahu apa yang bakal berlaku......

oleh itu, janganlah terlalu leka dengan cinta di zaman remaja, jagalah cinta yang indah itu mengikut syariat..... Cinta Allah, Cinta Rasul, Cinta Ibubapa dan yg penting cintailah diri sendiri,

bila kita menghargai diri kita sendiri, kita pasti tak mahu merosakkan hati yg sangat istimewa, yang telah dijadikan Allah.........♥