Ahad, 15 November 2020

Bisnes merudum, tapi nak hati kekal bahagia, mampukah ?

Macam mana kita nak kekal rasa bahagia dengan keadaan bisnes tak menentu, lebih lagi musim pandemic ni?




CA nak share cara nak rasa bahagia walau sale sangat tak memberangsangkan. Ini antara yang biasa CA buat semasa menghadapi dugaan dalam perniagaan.
Jom kita lalui semua ini bersama ♥
**************
𝟏. 𝐁𝐄𝐑𝐃𝐀𝐌𝐀𝐈 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐊𝐃𝐈𝐑
Huish, susahkan nak berdamai dengan takdir bila ujian yang dihadirkan seakan tak nampak jalan damainya? Macam mana?
Pertama sekali, elakkan mengeluh, merungut.
"Macam manalah aku ni, bil belum bayar, dah nak masuk 3 bulan, yuran anak tadika belum bayar. barang tak jalan, nanti expired,"
-ha, tu merungutlah tu. Kat mulut, kat hati. Stop. Cukuplah merungut. Bila risau, ingat dalam hati,
"Ada tu nanti. Mesti ada. Sebab Allah ada." itulah ayat yang suami duk ulang bila aku mula sebut tentang kerisauan aku.
Kedua, yakinkan hati, saat begini pun ada bahagia. Iya.
Kalau tak kita sibuk pegang hp nak jawab prospek, nak closing, nak buat online class untuk agen, nak masukkan order. Sibuk packing, sibuk pergi pos. Anak-anak kurang rasa sentuhan. Suami asyik makan kat luar. Masak megi sendiri. Zikir lepas solat pun tak, mengaji pun skip. Contoh aje la ye.
Bila kurang aktiviti bisnes inilah waktu untuk kita lebihkan masa dengan Allah dan keluarga. Nanti kita tak sedar, dalam diam, kita dah berdamai dengan takdir.
𝟐. 𝐈𝐊𝐔𝐓 𝐅𝐈𝐓𝐑𝐀𝐇
Kita ini hamba. Fitrahnya hamba itu mengharap kepada perhatian tuannya. Tuan kita siapa? Allah. Jadi memang Allah lah selayaknya tempat kita berharap. Maka jangan sedih, kita masih ada tempat untuk berharap.
Fitrahnya kita ini dijadikan untuk meminta. Allah suruh minta. Maka berdoalah, berdoa dengan sangat rendah hati dan penuh berharap. Kita ini minta pada Allah yang mana kita tahu tak ada satu pun yang kita minta Allah tak mampu tunaikan.
Jadi, bila kita tahu kita ada tempat untuk berharap. kita akan rasa tenang. Maka mengharap dan berdoalah terus!
𝟑. 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐒𝐄𝐒𝐄𝐊𝐀𝐋𝐈 𝐁𝐄𝐑𝐏𝐔𝐓𝐔𝐒 𝐀𝐒𝐀 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐇𝐌𝐀𝐓 𝐀𝐋𝐋𝐀𝐇
Allah itu pemberi rahmat untuk kita masuk ke syurga-Nya. Jika kita berputus asa hanya kerana ujian dunia yang singkat ini, bererti kita sanggup melepaskan peluang untuk masuk syurga. Hoiihhh biar betul kau sanggup masuk neraka?
Maka janganlah kita mudah berputus asa. Berjaya atau tidak bisnes itu tidak jamin syurga. Tapi penerimaan kita atas ujian dari Allah dalam bisnes kita itu sangat penting untuk membawa kita ke laluan kita, syurga atau neraka.
Jadi jangan berputus asa dengan Rahmat Allah. Allah Maha pemberi Rahmat kepada hamba-Nya yang tetap memilih Dia walau diberi ujian dengan bentuk apa sekalipun.
𝟒. 𝐓𝐄𝐑𝐔𝐒𝐊𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑𝐈
Bila kita memberi, tak kiralah, nasihat, bantuan, sokongan mahupun doa, segala pemberian kita itu akan balik kepada kita.
Contohnya, bila kita beri nasihat pada kawan kita, kita akan terasa , macam beri nasihat pada diri sendiri. Macam CA semasa menaipkan nota ini. CA seperti mengingatkan diri sendiri sebenarnya. Jadi, hati kita terpujuk tanpa sengaja.
Bila kita berikan bantuan dari segi wang ringgit atau barang keperluan, kita meringankan rasa hati kita yang terbeban melihat kesusahan orang lain. Bila kita ringakan kesusahan orang, Allah akan ringankan kesusahan kita juga, insya-Allah. Allah Maha Adil kawan.
Bila kita beri sokongan atau doa kepada seseorang yang sangat memerlukan sokongan, kita sebenarnya membebaskan rasa hati kita dari terkurung mengatakan aku ini tidak berguna. Aku nak buat apa pun tak boleh dah sekarang.
Sebenarnya kan, bila kita scroll FB, ternampak status sahabat yang beriklan, kita bagi like, sokongan dengan komen, dan doakan dia berjaya dapat jualan, malaikat nampak. Allah tahu.
Allah itu cintakan kebaikan. Insya-Allah, doa kita, sokongan kita itu akan berbalik kepada kita sendiri.
𝟓. 𝐀𝐘𝐀𝐓 𝟏𝟎𝟎𝟎 𝐃𝐈𝐍𝐀𝐑.
Tahukan ayat ni ? dari Surah Al-Talaq,
Nak bahagia, bukanlah dengan menghafal, tetapi MENGAMALKAN isinya.
Maksudnya: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Surah Al-Talaq : 2-3)
CA kongsikan ringkasan isinya ya :
❤️BERTAQWA KEPADA ALLAH DENGAN :
❤️LAKUKAN APA YANG DISURUH:
Contohnya, Solat, solat awal waktu, berbaik sangka dengan Allah, berbakti kepada ibu bapa, berbuat baik sesama manusia, tidak menzalimi pelanggan, jujur dalam timbangan dan lain-lain.
❤️TINGGALKAN YANG DILARANG
: contohnya, tidak solat, melambatkan solat, maksiat, menipu, ghibah, riba dan sebagainya.
❤️MAKA, Allah akan
- berikan jalan keluar dari apa permasalahan kita di dunia dan akhirat.
- berikan rezeki dari cara yang kita tidak sangka.
❤️SENTIASA RASA CUKUPLAH HANYA ALLAH tempat kita meminta pertolongan, bukan makhluk. (Bukan bos, bukan pelanggan, bukan gaji dan sebagainya)
❤️APA YANG ALLAH KEHENDAKI TETAP AKAN BERLAKU. Maka sekiranya kita tidak nampak lagi penyelesaian bagi perniagaan dan jualan kita yang merudum, tetaplah yakin ada hikmah disebaliknya.
Kawan CA yang CA sayang, waktu yang tidak sibuk inilah masa dan peluang kita menjaga semuanya. Kita muhasabah diri kita. Kita lihat apa kekurangan amalan kita, apa kesilapan yang kita belum betulkan, bertaubat atas setiap dosa kita.
Ruang waktu yang ada, usah disia-siakan.
Satu perkara CA nak pesan, jika diduga bisnes terhenti, itu bukan musibah. Carilah Allah, bicara dengan Allah, bertaqwa, taat dan tekadlah, bahawa cukuplah hanya Allah yang kita ada. Hasbunallah wani'mal wakeel.
𝟔. 𝐁𝐄𝐑𝐁𝐀𝐈𝐊𝐒𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐀𝐋𝐋𝐀𝐇
Tidak ada yang mencintai kita lebih dari Allah. Allah mencintai kita lebih dari kita mencintai diri kita sendiri. Tidak akan Allah memberikan keburukan kepada setiap hamba-Nya melainkan kebaikan sahaja.
Bila kita buruk sangka dengan orang, dengan takdir kita, sama saja seperti kita buruk sangka dengan Allah.
Bahagia itu bukan terletak pada wang, bonus, jualan tinggi atau untung besar. Ia terletak pada mata hati yang memandang.
Pandanglah semua perkara dengan kebaikan, dengan penuh hikmah. InsyaaAllah, jika tidak di dunia, di akhirat akan dapat ganjarannya.
****************
Begitulah cara CA didik hati untuk menerima segala ujian yang Allah beri, bukan saja dalam perniagaan, tetapi juga untuk kehidupan berumahtangga, berkeluarga, bermasayarakat dan berdakwah.
CA bukanlah terbaik. Hanya berusaha menjadi baik dan berkongsi perkara baik.
CA doakan semoga semua sahabat yang berniaga secara online ataupun offline akan tetap bersabar dan tenang walau dalam keadaan meruncing sekalipun.
Semoga Allah kurniakan ganjaran atas kesabaran kita insya-Allah.
Allah al-Musta'an
Berniagalah dengan Allah kerana keuntungan yang akan kita terima lebih berlipat kali ganda.

Sabtu, 14 November 2020

Kenangan lama - untuk jadikan iktibar

 Bisnes pertama CA adalah semasa CA masih bujang. Buka kelas komputer dan tusyen. Kemudian ditemukan dengan encik suami di saat bisnes pertama itu mula nak tenggelam kelemasan.

Allah bagi kami serasi, berkahwin dan meneruskan bisnes baru bersama. Syukur Allah bagi kami sukses. Selepas lima tahun berbisnes, kami sudah mula rasa senang. Walau pun mampu, tapi kami bukan jenis hidup mewah. Lebihnya hanya pada kenderaan. Minat suami.
Aku ni bukan jenis suka belanja. Suami lah yang belikan aku barang branded semua. Aku tak pernah minta pun. Tapi aku okey je. Anak-anak pun okey. Bisnes kami memang berkembang maju.
Suami aku sebenarnya pakar marketing. Zaman multilevel baru sampai kat Malaysia, baru keluar bermacam brand, suami aku dah berjaya capai reward kereta, bonus puluh ribu. Dia memang pakar bahagian marketing. Jadi dia dah tahu Do’s & Don’ts.
Aku pula bertanggungjawab jaga bahagian akaun dan bahagian design untuk marketing tools. Aku juga jaga Stokis, agent dan pengedar. Alhamdulillah, selalu bertekak dengan suami. Haha.
Biasalah ya. Bekerja suami isteri memang macam tu. Bila terkenang zaman aku berniaga sendiri dulu, sebenarnya ada beberapa perkara yang membuat aku kuat sampai sekarang.
Aku pernah bercita-cita semasa bujang, untuk ada perniagaan bersama suami. Kemudian, anak-anak kami bawa ke pejabat. Aku jaga mereka sendiri sambil bekerja. Tak sangka Allah makbulkan!
Ya, masa aku mula ke pejabat tu, aku dah nak masuk anak ke dua. Mula-mula tu aku Work From Home je. (aku dah buat tau tahun 2005 WFH ni, korang lambat, ahah).
Jadi bermula tahun 2007 aku mula masuk pejabat. Suami siapkan satu bilik untuk aku.
Anak-anak, bawa ke pejabat. Sama lah macam sekarang. Sambil menaip, anak di pangku, anak main cop. Anak menyusu. Anak tolong taip. Haha. Ye, tapi aku bahagia sangat.
Aku kuat semangat dengan rutin harian yang padat.
-Pagi-pagi siapkan anak sekolah (anak suami dengan arwah isteri dulu).
-Lepas tu, masak apa yang boleh. Packing untuk bawa ke pejabat.
-Sarapan ringkas saja di rumah. Suami biasa ngeteh lepas hantar anak sekolah. Kadang masa nak masuk ofis, cuma beli roti dan air kotak. Ok lah tu.
-Sampai ofis, kemas bahagian dapur. Masuk ofis. Kerani kat luar tolong tengokkan anak kalau dia main kat luar. Banyak masa mereka dalam bilik aku je.
-Tengah hari makan bekalan. Kalau tak sempat masak pagi. Beli lah, makan kat ofis dengan anak-anak. Suami kalau keluar dekat, dia balik makan. Kadang dia pantau budak marketing. Kadang dia outstation.
-CA memang bertapa kat ofis dengan anak sampai petang. Anak yang sekolah menengah, balik sekolah, lepas berkemas kat rumah, datang ofis terus. Rumah dekat je dengan ofis. Jalan kaki pun boleh kalau nak.
-Balik rumah biasa sebelum pukul tujuh, ambil sekali anak yang balik petang.
-Lepas tu, sampai rumah masak makan malam pulak. Kalau masa ada baby tu, biasa dah siap mandi petang sebelum balik rumah.
-Sambil makan, mesin basuh pun bertugas. Lepas tu, sidai baju, kemas rumah, tengok tv sambil layan anak. Lipat baju tidur. Dan ulang semula rutin.
Bila dikenang zaman itu, CA rasa bersyukur sangat Allah bagi CA laluinya selama lapan tahun. Maksud CA, rutin sibuk CA untuk bisnes dan keluarga.
Untuk bisnes dengan suami tu, menjejak hampir 10 tahun. Selepas itu, kami tak bisnes lagi kerana Allah. Ya.
Masa stop tu, keadaan syarikat stabil, tapi Allah bagi stop.
-Kewangan syarikat ok.
-Produkk disukai ramai orang. Positif.
-Kami tidak boros atau enjoy.
-Tak beli rumah atau harta lain selain kereta
-Bonus untuk Leader kami tiap tahun ada.
-Bantuan ekonomi leader ada.
-Plan untuk kembangkan lagi dah sedia.
-Tapi kami stop. Sebab? Allah kata stop.
-Allah bagi kami tanda untuk stop.
Tanpa kami sedar bisnes itu merosakkan banyak hati yang bersih.
Kami jual makanan tambahan untuk minda. Ada satu tempoh tu, kami lihat jualan tak stabil. Macam ada yang tak kena. Satu hari, aku cakap dengan suami, aku nak buat kerja on-field.
Dah lama aku tak buat marketing. Aku nak selidik juga apa masalahnya. Jadi aku pergi ke sekolah. Biasa kami akan masuk untuk jualan hari terbuka atau mesyuarat PIBG.
“Saya tak benarkan lagi syarikat awak buat jualan di sekolah saya.” Kata guru besar tegas.
“Staf awak yang buat jualan ni ajar anak murid saya rosakkan akidah! Siapa nak pandai kena makan produk awak. Apa tu? Allah yang bagi pandai, bukan produk awak! Rosak akidah anak murid saya!” ujarnya lagi.
Aku terpempan. Ya, kami ada ajar agen kami untuk buat penerangan dan menyuruh mereka kreatif dalam penyampaian. Mungkin kerana terlalu lama kami percaya kepada mereka, kami cuai melihat bahagian ini. Tak pernah pun kami ajar untuk sampaikan info begitu.
Aku seperti mendapat jawapan.
Suami pula bukan jenis terus melenting. Dia lebih suka guna teknik, “Allah lebih tahu, kita tunggu.”
Akhirnya, satu persatu perkara tidak baik dan tidak betul dibelakang kami Allah tunjukkan pada kami. Baiknya Allah tu, aturannya sangat cantik.
Bulan Februari 2012, pemilik lot kedai bagi notis keluar tak sampai sebulan sebab dia dah jual kedai yang kami sewa tu.
Walau kami tak pernah lewat bayar sewa, tak pernah ada tunggakkan, kami tak boleh buat apa, mereka dah tandatangan perjanjian dan pembeli dah pun buat pembayaran.
Kami pindahkan stok dan peralatan komputer ke rumah. Sebahagian perabot kami bawa ke rumah dan sebahagian lagi kami tumpang di stor sahabat suami. Maka kami beroperasi dari rumah.
Kemudian, lebih kurang tak sampai sebulan lepas itu, pengeluar produk datang ke rumah dan buat keputusan untuk mereka menjual sendiri, sekeluarga. Aku dan suami hanya mampu berpandangan. Kami pun malas nak bergaduh.
Kami lepaskan, sedangkan banyak sudah pelaburan suami dalam bisnes itu. Hampir sepuluh tahun masa kami habiskan untuk naikkan nama produk. Ah! Disitulah mungkin kesilapan kami.
Bukan kami, Allah yang punya kuasa. Jadi kami redha. Mungkin ini adalah jalan Allah memakbulkan sebahagian doa-doa kami.
Bisnes itu beri aku peluang merasa pelbagai impian yang aku mahukan tercapai.
-Ada suami yang bisnes bersama
-Jaga anak sendiri walau bekerja
-Dapat pakai kereta idaman
-Ada melalui beberapa moment indah idaman kebanyakan wanita (malas nak cerita)
-Dapat pergi merata dalam semenanjung bersama suami di sisi
Jadi, bila Allah hentikannya, aku tidak rasa terkilan.
Apa yang aku belajar dari pengalaman ini tak terkira banyaknya. Ia membentuk siapa aku hari ini. Ketenangan aku hari ini. Kesabaran dan ketenangan aku hari ini banyak datang dari sana.
Bila aku ingat kembali, ia satu perjalanan yang penuh dengan moment indah sehingga kami tak tercium busuknya hati lain di belakang kami.
Allah lindungi kami. Allah kembalikan kami kepangkuan-Nya dari saat kami diminta berhenti menjadi Pengedar Tunggal produk.
Allah Maha Kaya. Allah lah yang beri kami kehidupan sehingga hari ini. Bukan produk mereka. Bukan kawan-kawan.
Bisnes itu juga seperti tapisan untuk kami nampak atau jumpa yang namanya sahabat dunia akhirat.
Inilah juga antara sebab bila orang tanya kenapa tak nak bisnes lagi. Aku cukup puas merasa ‘dunia’.
Ada sahabat suami, peguam, nak buka kes saman. Kami boleh menang, katanya. Kami ada daftar harta intelek. Kami tidak berhutang dengan mereka.
Tapi suami kata tak mahu. Kami ambil keputusan tidak mahu ke mahkamah. Dalam mahkamah ni macam-macam boleh jadi bila kita nak menang.
Kami takut tuntutan kami nanti jadi lebih dari hak kami. Wallahua'lam.
Selepas kami stop, aku masih ada berbisnes lain juga. Kerana minat bisnes dan mencari tambahan pendapatan. Tapi, bermacam lagi dugaan. Nanti aku cerita lagi. Itupun kalau ada yang baca.

My story from 2003 to 2012. 10 years period.
Alhamdulillah. Kenangan yang membawa banyak pengajaran. Tidak terasa sedih lagi bila dikenang. Hanya tinggal rasa kesyukuran.

Gambar : kenangan anak-anak aku di pejabat. Aku tak pernah terfikir nak ambil gambar pejabat betul-betul kerana tak terfikir akan stop. Allah Maha Mengetahui.









Jumaat, 13 November 2020

Cerita Interview pertama aku

 Hari tu, hari terakhir aku di kolej untuk semester itu. Semester depan adalah semester final. Tak ada kelas. Jadi aku nekad nak cari kerja.

Keluar dari kolej, aku singgah kedai alat tulis yang bertentangan dengan kolej aku tu. Memang aku suka masuk situ. Aku suka tengok notebook, marker, artline, kertas warna. Kadang tak membeli apa pun. Auntie dan Uncle tu pun dah biasa dengan aku.
Aku masuk hari tu, aku cuma nampak uncle tu sorang aje. Auntie yang selalu jaga kedai tu aku tak nampak.
"Uncle, itu auntie tak kerja ka?"
"Sudah berhenti lah."
"Owh, dia bukan u punya wife ka uncle?"
"Eh, bukanlah. Dia kerja saja. Tapi sudah tak berapa sihat. Saya pun susah lah."
"U tak mau cari orang kerja ka uncle?"
"Mau lah, tapi susahlah, u tau ka siapa mau kerja?"
"Tau lah."
"Siapa?"
"I lah. Hehehe."
"Haiyaaa. U mana boleh kerja sini."
"Alah uncle ni, kenapa tak boleh?"
"U belajar sana kolej kan? Mana saya boleh bayar gaji besar."
"Tak apa lah uncle, asalkan saya lepas bayar sewa rumah sama makan pun ok."
"Tapi tak boleh bayar besar maa. U mau ka?"
"Haiyaaa, saya kan, itu diploma pun belum dapat, berapa pun ok, u mau bayar berapa uncle?"
"Enam ratus, enam ratus lima puluh macam lahh."
Haaaaa? Reaksi aku dalam hati. Banyak tuuuu. Sewa rumah baru RM60 sebulan. Duit sarahidup dari MARA pun dapat juga nanti. Ok confirm, on.
"Boleh uncle. itu pun banyak lah uncle. Saya punya rumah dekat tau, jalan kaki saja, tak payah keluar duit transport. Cukuplah makan."
"Eh, tapi u ok ka ini macam? Tak banyak ooo."
"Ok Uncle. Ok sangat. Saya mau. Saya mau."
"Eh, tapi macam mana u punya belajar?"
"Tak pe. next semester, i tak ada kelas la uncle. Hantar report saja."
"Ohh, itu macam kaa. ok lah. Bila u mau kerja ?"
"U kasi saya balik kampung satu minggu la uncle. Lepas tu saya masuk kerja."
Haa, begitulah cara aku interview uncle wong untuk minta kerja. Bukan dia interview aku tau. Haha.
Orangnya sangat ringkas. Mudah berurusan.
Hari pertama aku kerja, dia serahkan kunci pada aku. Dia tunjukkan semua yang aku patut tahu.
Dia ajar aku guna mesin fotokopi yang akhirnya jadi boifren aku tu.
Dia ajar aku guna binding machine.
Dia ajar aku laminate.
Dia ajar aku guna cashier machine.
Dia ajar aku kira duit untuk didepositkan ke bank. Berapa perlu tinggal di cashier, no akaun dan yang berkaitan.
Dia bagi tahu bank mana nak tukar duit syiling.
Selepas tiga hari, dia bagi aku Amanat.
"Shida, lepas ni u jaga terus lah oorrr, Saya datang pun satu minggu tiga empat kali saja. Sebenarnya, saya ada tiga kedai lagi mau jaga. Tapi satu kedai sana saya punya abang tolong jaga full time. Jadi lagi dua saya mau jaga, sana dua kedai besar. Sini tak ramai customer. tak pack, u boleh jaga sorang punya."
Terkejut juga aku dengar. Baru tiga hari dia dah percaya nak tinggal kedai ni kat aku ? Mungkin terpaksa lah kan memandangkan dia ada banyak cawangan kedai lagi.
Aku pun akur lah.
Semua nombor telefon penting dia bagi.
Hari yang cukup sebulan aku kerja, dia ada di kedai. Dia kirakan gaji aku dari cashier. Dia bagi pada aku.
"Bulan depan, kalau saya tak datang hujung bulan, u kira gaji u sendiri aarr."
Bulat mata aku. Uncle Wong ni biar betul. Tapi memang betul, dari gaji aku RM650.00 sampailah selepas lebih setahun bekerja dah jadi RM900.00, dia suruh aku kira sendiri aje.
Sebenarnya bukan saja dia percaya pada aku sepenuhnya, dia juga banyak kongsikan pengalaman dan ilmu bisnes yang dia tahu pada aku.
Setahun lebih aku kerja, aku nak berhenti, dia tak bagi, nak bagi tambah gaji.
"Sorry uncle, mak sudah panggil balik."
"Yalah, yalah," kata uncle.
Dia majikan pertama aku. Alhamdulillah, majikan pertama yang tidak memberi sejarah buruk. Aku sangat suka bekerja dengan dia.
Nanti ada masa, aku cerita lagi. Aku cuba recall semula tips dan ilmu yang dia pernah kongsi dengan aku. Aku kongsi pulak dengan korang ye.
Sebelum ni dah pernah share cerita uncle Wong ni. Ada peminatnya dulu. Siap tanya aku jumpa dia lagi ke tak, haha. Mana tau ada cerita bersiri #UncleWong pulak, haha.
~rindu pula bermain dengan mesin fotokopi dan binder, rindu je, bukan nak buat lagi. Cukuplah hanya rindu, haha.
Sekadar kisah interview pertama. Korang punya cerita macam mana ?


- gambar sekadar hiasan.

Bisnes merudum, tapi nak hati kekal bahagia, mampukah ?

Macam mana kita nak kekal rasa bahagia dengan keadaan bisnes tak menentu, lebih lagi musim pandemic ni? CA nak share cara nak rasa bahagia w...

PENAFIAN

Blog ini adalah tempat saya mencurahkan pendapat dan tidak berpihak atau menentang mana mana pihak samada dalam atau luar negara.

Blog ini hanyalah tempat saya berkongsi cerita dan memberi buah fikiran dalam perkara-perkara yang saya suka.

Jadi, tiada sesiapa berhak untuk menuntu sebarang gantirugi daripada saya kerana saya tidak berkaitan dengan mana-mana badan kerajaan atau bukan kerajaan.

Saya juga berhak mempromosi produk jualan saya yang mana ia adalah milik syarikat saya sendiri.

Terima kasih.