Bisnes pertama CA adalah semasa CA masih bujang. Buka kelas komputer dan tusyen. Kemudian ditemukan dengan encik suami di saat bisnes pertama itu mula nak tenggelam kelemasan.
Allah bagi kami serasi, berkahwin dan meneruskan bisnes baru bersama. Syukur Allah bagi kami sukses. Selepas lima tahun berbisnes, kami sudah mula rasa senang. Walau pun mampu, tapi kami bukan jenis hidup mewah. Lebihnya hanya pada kenderaan. Minat suami.
Aku ni bukan jenis suka belanja. Suami lah yang belikan aku barang branded semua. Aku tak pernah minta pun. Tapi aku okey je. Anak-anak pun okey. Bisnes kami memang berkembang maju.
Suami aku sebenarnya pakar marketing. Zaman multilevel baru sampai kat Malaysia, baru keluar bermacam brand, suami aku dah berjaya capai reward kereta, bonus puluh ribu. Dia memang pakar bahagian marketing. Jadi dia dah tahu Do’s & Don’ts.
Aku pula bertanggungjawab jaga bahagian akaun dan bahagian design untuk marketing tools. Aku juga jaga Stokis, agent dan pengedar. Alhamdulillah, selalu bertekak dengan suami. Haha.
Biasalah ya. Bekerja suami isteri memang macam tu. Bila terkenang zaman aku berniaga sendiri dulu, sebenarnya ada beberapa perkara yang membuat aku kuat sampai sekarang.
Aku pernah bercita-cita semasa bujang, untuk ada perniagaan bersama suami. Kemudian, anak-anak kami bawa ke pejabat. Aku jaga mereka sendiri sambil bekerja. Tak sangka Allah makbulkan!
Ya, masa aku mula ke pejabat tu, aku dah nak masuk anak ke dua. Mula-mula tu aku Work From Home je. (aku dah buat tau tahun 2005 WFH ni, korang lambat, ahah).
Jadi bermula tahun 2007 aku mula masuk pejabat. Suami siapkan satu bilik untuk aku.
Anak-anak, bawa ke pejabat. Sama lah macam sekarang. Sambil menaip, anak di pangku, anak main cop. Anak menyusu. Anak tolong taip. Haha. Ye, tapi aku bahagia sangat.
Aku kuat semangat dengan rutin harian yang padat.
-Pagi-pagi siapkan anak sekolah (anak suami dengan arwah isteri dulu).
-Lepas tu, masak apa yang boleh. Packing untuk bawa ke pejabat.
-Sarapan ringkas saja di rumah. Suami biasa ngeteh lepas hantar anak sekolah. Kadang masa nak masuk ofis, cuma beli roti dan air kotak. Ok lah tu.
-Sampai ofis, kemas bahagian dapur. Masuk ofis. Kerani kat luar tolong tengokkan anak kalau dia main kat luar. Banyak masa mereka dalam bilik aku je.
-Tengah hari makan bekalan. Kalau tak sempat masak pagi. Beli lah, makan kat ofis dengan anak-anak. Suami kalau keluar dekat, dia balik makan. Kadang dia pantau budak marketing. Kadang dia outstation.
-CA memang bertapa kat ofis dengan anak sampai petang. Anak yang sekolah menengah, balik sekolah, lepas berkemas kat rumah, datang ofis terus. Rumah dekat je dengan ofis. Jalan kaki pun boleh kalau nak.
-Balik rumah biasa sebelum pukul tujuh, ambil sekali anak yang balik petang.
-Lepas tu, sampai rumah masak makan malam pulak. Kalau masa ada baby tu, biasa dah siap mandi petang sebelum balik rumah.
-Sambil makan, mesin basuh pun bertugas. Lepas tu, sidai baju, kemas rumah, tengok tv sambil layan anak. Lipat baju tidur. Dan ulang semula rutin.
Bila dikenang zaman itu, CA rasa bersyukur sangat Allah bagi CA laluinya selama lapan tahun. Maksud CA, rutin sibuk CA untuk bisnes dan keluarga.
Untuk bisnes dengan suami tu, menjejak hampir 10 tahun. Selepas itu, kami tak bisnes lagi kerana Allah. Ya.
Masa stop tu, keadaan syarikat stabil, tapi Allah bagi stop.
-Kewangan syarikat ok.
-Produkk disukai ramai orang. Positif.
-Kami tidak boros atau enjoy.
-Tak beli rumah atau harta lain selain kereta
-Bonus untuk Leader kami tiap tahun ada.
-Bantuan ekonomi leader ada.
-Plan untuk kembangkan lagi dah sedia.
-Tapi kami stop. Sebab? Allah kata stop.
-Allah bagi kami tanda untuk stop.
Tanpa kami sedar bisnes itu merosakkan banyak hati yang bersih.
Kami jual makanan tambahan untuk minda. Ada satu tempoh tu, kami lihat jualan tak stabil. Macam ada yang tak kena. Satu hari, aku cakap dengan suami, aku nak buat kerja on-field.
Dah lama aku tak buat marketing. Aku nak selidik juga apa masalahnya. Jadi aku pergi ke sekolah. Biasa kami akan masuk untuk jualan hari terbuka atau mesyuarat PIBG.
“Saya tak benarkan lagi syarikat awak buat jualan di sekolah saya.” Kata guru besar tegas.
“Staf awak yang buat jualan ni ajar anak murid saya rosakkan akidah! Siapa nak pandai kena makan produk awak. Apa tu? Allah yang bagi pandai, bukan produk awak! Rosak akidah anak murid saya!” ujarnya lagi.
Aku terpempan. Ya, kami ada ajar agen kami untuk buat penerangan dan menyuruh mereka kreatif dalam penyampaian. Mungkin kerana terlalu lama kami percaya kepada mereka, kami cuai melihat bahagian ini. Tak pernah pun kami ajar untuk sampaikan info begitu.
Aku seperti mendapat jawapan.
Suami pula bukan jenis terus melenting. Dia lebih suka guna teknik, “Allah lebih tahu, kita tunggu.”
Akhirnya, satu persatu perkara tidak baik dan tidak betul dibelakang kami Allah tunjukkan pada kami. Baiknya Allah tu, aturannya sangat cantik.
Bulan Februari 2012, pemilik lot kedai bagi notis keluar tak sampai sebulan sebab dia dah jual kedai yang kami sewa tu.
Walau kami tak pernah lewat bayar sewa, tak pernah ada tunggakkan, kami tak boleh buat apa, mereka dah tandatangan perjanjian dan pembeli dah pun buat pembayaran.
Kami pindahkan stok dan peralatan komputer ke rumah. Sebahagian perabot kami bawa ke rumah dan sebahagian lagi kami tumpang di stor sahabat suami. Maka kami beroperasi dari rumah.
Kemudian, lebih kurang tak sampai sebulan lepas itu, pengeluar produk datang ke rumah dan buat keputusan untuk mereka menjual sendiri, sekeluarga. Aku dan suami hanya mampu berpandangan. Kami pun malas nak bergaduh.
Kami lepaskan, sedangkan banyak sudah pelaburan suami dalam bisnes itu. Hampir sepuluh tahun masa kami habiskan untuk naikkan nama produk. Ah! Disitulah mungkin kesilapan kami.
Bukan kami, Allah yang punya kuasa. Jadi kami redha. Mungkin ini adalah jalan Allah memakbulkan sebahagian doa-doa kami.
Bisnes itu beri aku peluang merasa pelbagai impian yang aku mahukan tercapai.
-Ada suami yang bisnes bersama
-Jaga anak sendiri walau bekerja
-Dapat pakai kereta idaman
-Ada melalui beberapa moment indah idaman kebanyakan wanita (malas nak cerita)
-Dapat pergi merata dalam semenanjung bersama suami di sisi
Jadi, bila Allah hentikannya, aku tidak rasa terkilan.
Apa yang aku belajar dari pengalaman ini tak terkira banyaknya. Ia membentuk siapa aku hari ini. Ketenangan aku hari ini. Kesabaran dan ketenangan aku hari ini banyak datang dari sana.
Bila aku ingat kembali, ia satu perjalanan yang penuh dengan moment indah sehingga kami tak tercium busuknya hati lain di belakang kami.
Allah lindungi kami. Allah kembalikan kami kepangkuan-Nya dari saat kami diminta berhenti menjadi Pengedar Tunggal produk.
Allah Maha Kaya. Allah lah yang beri kami kehidupan sehingga hari ini. Bukan produk mereka. Bukan kawan-kawan.
Bisnes itu juga seperti tapisan untuk kami nampak atau jumpa yang namanya sahabat dunia akhirat.
Inilah juga antara sebab bila orang tanya kenapa tak nak bisnes lagi. Aku cukup puas merasa ‘dunia’.
Ada sahabat suami, peguam, nak buka kes saman. Kami boleh menang, katanya. Kami ada daftar harta intelek. Kami tidak berhutang dengan mereka.
Tapi suami kata tak mahu. Kami ambil keputusan tidak mahu ke mahkamah. Dalam mahkamah ni macam-macam boleh jadi bila kita nak menang.
Kami takut tuntutan kami nanti jadi lebih dari hak kami. Wallahua'lam.
Selepas kami stop, aku masih ada berbisnes lain juga. Kerana minat bisnes dan mencari tambahan pendapatan. Tapi, bermacam lagi dugaan. Nanti aku cerita lagi. Itupun kalau ada yang baca.
Alhamdulillah. Kenangan yang membawa banyak pengajaran. Tidak terasa sedih lagi bila dikenang. Hanya tinggal rasa kesyukuran.
Gambar : kenangan anak-anak aku di pejabat. Aku tak pernah terfikir nak ambil gambar pejabat betul-betul kerana tak terfikir akan stop. Allah Maha Mengetahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Apa kata anda....