Ada satu kisah benar yang ingin saya kongsikan.
Seorang sahabat pernah dicurangi suaminya. Malah suaminya hampir berkahwin dengan wanita itu. Suaminya seperti tidak peduli langsung akan pengorbanan isteri yang menjaga rumahtangga dan 3 anak mereka (isteri sedang mengandung anak ke 4). Banyak masalah lain diberi suami, seperti tidak menghulurkan wang belanja yang cukup walaupun mampu, sehingga isteri terpaksa melakukan kerja lain bagi mendapatkan wang, tidak pernah peduli susah payah isteri mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah. Pulang lewat, keluar awal. Apabila isteri sudah penat hendak bergaduh, dia terus merelakan suaminya berkahwin dengan wanita itu dan melepaskan dia, lalu si suami terkedu. Barulah dia insaf. Malangnya, si isteri sudah semakin hilang cintanya. Selepas 3-4 tahun berlalu peristiwa itu, si isteri mengadu kepada saya, dia tidak lagi mencintai suaminya. Dia kekal berumahtangga kerana meneruskan tanggungjawab dan kasihan pada suami dan anak-anaknya. Dia semakin buntu dan bosan menghadapi suaminya. Walaupun sedang mengandungkan anak ke 5 mereka, dia tidak dapat mencari walau sedikit pun cinta yang tersisa.
Saya kasihankan kawan saya. Saya tidak salahkan dia. Dia meminta nasihat dari saya. Saya katakan padanya,
“Berdoalah kepada ALLAH SWT supaya kau jatuh cinta sekali lagi kepada suami kau. Kenangkanlah kebaikannya sekarang dan lupakanlah kesilapannya. Manusia memang sentiasa berbuat silap. Kau kena bersyukur kerana suami kau ingin dan berusaha untuk berubah. Jangan tinggikan ego. Bukankah bercinta itu indah? Cuba kau cari satu masa, dan kau renung wajahnya dalam-dalam. Pasti kau akan temui cinta yang dah tertanam. Apa yang penting jangan lupa berdoa dan bertaubat kepada ALLAH SWT.”
Beberapa bulan selepas itu, kawan saya datang ke rumah saya dengan wajah yang berbeza,berseri-seri.
“Aku dah dapat balik cinta aku. Terima kasih atas nasihat kau.”
Saya sangat gembira. Mereka kembali bahagia hingga ke hari ini.
Saya bukanlah hebat. Tapi saya selalu menjadikan Rasulullah SAW dan ibubapa saya sendiri sebagai contoh. Saya paling sedih mendengar cerita tentang perceraian.
Saya memang seorang yang sangat mementingkan kasih-sayang. Tetapi saya tidak pandai hendak menunjukkan dengan cara yang biasa dilihat di televisyen. Saya juga jarang meluahkan kata-kata sayang dan cinta. Namun begitu, bila saya ingin berbuat sesuatu, saya akan pastikan ia tidak akan melukakan hati orang-orang yang saya sayang, lebih-lebih lagi suami yang tercinta.
Kadang-kala, teringin juga hendak berubah dan menjadi seorang yang sentiasa meluahkan kata-kata sayang dan cinta. Tapi, bila saya cuba, ia tak menjadi.
Namun begitu, saya bersyukur kerana cinta antara kami semakin kukuh, bukan semakin pudar. Pernah bergaduh tak? Hmmm, bila bergaduh, macam dalam dunia ini, kami saja yang ada masalah. Kalau hendak diikutkan hati yang sakit dan marah, pasti akan berdendam pula. Dendam itulah yang sangat mendorong kepada pudarnya cinta.
Masalah cemburu? Saya tidak pernah tanya ke mana suami saya pergi. Kadang-kadang, dia yang hanya ke tempat berhampiran menghubungi saya dan memberitahu dalam perjalanan ke Melaka. Saya juga tidak pernah tanya dia pergi bersama siapa dan hendak bertemu siapa. Saya juga tidak simpan syak wasangka dalam hati. Pernah ada beberapa kali wanita lain cuba mendampingi suami saya, janda, anak dara. Suami saya tidak mahu bercerita pada saya kerana baginya ia tidak penting. Saya dapat rasakan kehadiran wanita-wanita itu, tapi saya tidak pernah menghalang kalau suami saya ingin mengamalkan poligami. Cemburu itu ada, tapi saya tidak suka panjangkan cerita. Akhirnya, suami akan ceritakan sendiri dari A-Z semuanya tanpa saya perlu mendesaknya.
Kata-kata satu doa. Sangkaan kita kepada suami juga adalah doa.
Saya sangat sayangkan dia. Kenapa saya hendak berdoa untuk bersengketa dengan dia pula?
Seorang ustaz pernah berkata, “Jika suami yang tidak pernah curang, tapi isteri sentiasa mengesyaki suami curang, ia berkemungkinan besar akan berlaku. Jika suami memang curang, dan isteri tidak bertindak melulu dengan meminta kata dua, malah isteri semakin menunjukkan sifat-sifat baiknya, insya Allah suami akan pulang. Tapi isteri juga harus bersedia jika memang ditadirkan dia bermadu. Perkara halal yang dibenci ALLAH SWT ADALAH TALAK. Jadi cubalah jauhinya. Minta nasihat dari jabatan agama sebelum ambil keputusan. Jangan sekali-kali mencabar suami, kerana lelaki biasanya pantang dicabar.”
Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).
**Petua saya, amalkan surah ‘Alam Nasyrah iaitu Asy-Syarh. Ia membantu melembutkan hati. Baca pada bila-bila masa seperti membasuh sayuran, mengacau masakan, mencuci beras, membuat air, menidurkan anak dan pada bila-bila waktu terluang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Apa kata anda....