Wednesday, September 4, 2013

Pinjamkan saya 20 sen, tambang bas tak cukup

Orang sibuk berkisah tentang 20 sen........

Pagi ini aku duduk merenung kembali perjalanan hidupku...

Dari kecil hingga tamat sekolah, mak dan ayah terus mencukupkan segala keperluan dan kehendak ku, memandangkan aku anak bongsu dan harapan mereka yang tinggal. Hidup sebagai seorang anak peneroka, aku serba sederhana. Mak memang sentiasa melengkapkan anak-anaknya bila hari raya tiba. Mak main undi(kutu), macam-macam jenis undi. Undi periuk, undi karpet, undi cadar, undi tunai..... mak tak berpelajaran. Langsung tak ke sekolah. Tetapi, mak lah yang menjadi perancang kewangan keluarga. Mak berjaya mencukupkan keperluan sekeluarga dengan macam-macam cara. Mak bekerja, ayah peneroka. Bila giliran aku belajar, adik beradik lain sudah besar panjang dan bekerja. Abang-abang dan kakak-kaka memberi sokongan dan bantuan utnuk menjadikan aku seorang graduan. Mak nak aku jadi seorang doktor !

Namun perancangan Allah, kita tak tahu. Aku juga sangka aku akan jadi doktor. Tetapi, dalam menjalani hidup sebagai seorang pelajar, aku dapati minat dan fokusku bukanlah dalam perubatan. Aku lupakan cita-cita menjadi doktor. Dipendekkan cerita, selepas tamat belajar di kolej, aku pernah bekerja dalam pelbagai bidang. Akhirnya aku menceburi bidang perniagaan. Cabaran hidup aku yang sebenar bermula di sini.

Di sini aku menambah ego, di sini juga aku belajar membuang ego. Dalam bidang perniagaan, ternyata mengajar aku terlalu banyak perkara. Aku pernah berurusan dengan orang koporat, orang kerajaan, orang berpelajaran tinggi, orang berpangkat tinggi, orang yang tidak bekerja, orang yang malas, orang yang bersungguh-sungguh, orang yang banyak alasan, dan macam-macam jenis orang. Daripada orang-orang itu juga aku belajar koreksi diri. Buang ego, buang rasa "enjoy", buang "cinta kawan", kurangkan "cinta dunia."

Dan ia bukanlah perjalanan yang mudah.

Dari Iswara, Wira, Mercedes benz, Naza Citra, Vios S, BMW 3 Series, BMW 5 Series, Alphard...Semua aku dah merasa....Kini hanya Kancil...... kancil yang setia dari awal kami (aku dan suami) berniaga , kini sedang minta di belai lebih... sudah beberapa kali masuk "ICU".

Dulu semasa perniagaan diambang kejayaan, aku puas merasa pelbaai keseronokan "hidup di dunia" bersama suami dan keluarga. Bercuti setiap tahun di tempat-tempat mewah. Duduk di hotel 5 bintang, dan makan di hantar kebilik, bermalas-malasan sepenuhnya.

Kini semuanya sudah jauh dibelakang. Dan aku tidak kesal. Kerana aku telah memilih untuk menghidupkan "cinta akhirat". Memang benar, kaya juga boleh masuk syurga. Tapi, sekiranya kita jadi orang yang alpa, kemanakah kita nanti? Dimata orang, kami seperti jatuh dari bangunan tinggi, hampir berkecai segalanya.  Namun, aku menggap semua itu kafarah dosa, semoga semua yang Allah datangkan kepada kami, akan meninggikan kedudukan kami di akhirat. Hati kami lebih tenang sekarang.

Untuk apa cerita ini semua? 20 sen. Ya. berkait dengan isu 20 sen. Ku lihat ramai yang mendabik dada, mengatakan, "CUMA 20 SEN, x payah kecoh!".

Cerita ini, cuma mahu mengingatkan aku dan sesiapa yang terbaca. Jangan lupa kawan-kawan, hidup ini umpama roda. Dulu, RM 2000.00 pun aku tak hairan. Sekarang, 20 sen akan ku tabung, untuk mengharungi hidup sebelum mati.

Mereka yang tahu nilai 20 sen, bukan kedekut, bukan berkira, bukan mengada-ngada. Mereka biasanya bukan dari golongan yang mengeluh. Mereka juga redha bila di duga Allah hidup susah di dunia, dan tak mahu duduk di tepi jalan meminta-minta. Mereka kebanyakannya tidak berkata apa. Mereka terima.

Namun di mana tanggungjawab kita, yang Allah turunkan sebagai khalifah, untuk saling membantu? Walau tidak menghulur wang, cukuplah jangan menghina. "Alahhh 20 sen pun berkira...!"

Lihatlah jika roda hidupmu berputar, yang atas turun ke bawah... jangan pula nanti kau yang mendabik dada mengetuk pintu rumah si penjual kuih, "pinjamkan saya 20 sen, tambang bas tak cukup..."

Wallahualam......

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda....