Tuesday, July 31, 2012

Dunia tak kemana


Redup di luar tidak mendinginkan keadaan di dalam. Cuaca yang panas dingin ini sering saja menguji kesungguhan menghadapi dugaan hidup. Cinta hati yang kejap malap kejap bersinar, menjadikan hidup cukup teruji. 

Aku tak mahu lagi terikat dengan dunia ini sebenarnya. Namun kehadiran cahaya mata yang sedang membesar dan memerlukan bimbingan aku untuk mereka menghadapi dunia, membuatkan aku cuba bertahan dan cuba lagi berinteraksi dengan dunia ini. 

Ya benar, selagi bernama khalifah di muka bumi, banyak sebenarnya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Bukan aku tidak tahu, yang dunia zaman ini tidak lagi aman untuk membiarkan anak-anak memilih cara mereka sendiri. Dan pergolakan di dalam masyarakat islam saja tidak pernah selesai. Muncul sahaja isu-isu yang cuba memecahbelahkan keteguhan umat Islam.

Di sentuh dari segi politik, ekonomi, sosial, dan akedemik. Islam yang sepatutnya menjadi panduan dikatakan menyebabkan kemunduran. Lalu bagaimana aku mahu membiarkan anak-anak ku terjerumus dengan pemikiran yang menghina agama Allah ini ?

Anak-anakku sepatutnya aku bawa melalui jalan-jalan yang memperlihatkan kebenaran, bahawa Islam adalah agama sebenar bagi umat manusia. Lalu bagaimana pula aku menjawab persoalan -persoalan seperti :

"Mama, kenapa orang tu tak tutup aurat? Mama, kenapa orang tu tak puasa ? Mama, kenapa orang tu tak solat? Mama, kenapa kita tak boleh make-up cantik-cantik macam perempuan lain?"

Begitu banyak lagi sebenarnya persoalan yang bakal diajukan oleh mereka dalam proses mengenali dunia ini.....Oh, andainya mampu aku fahamkan mereka, yang dunia ini hanya sementara, usah kau berat memikirkan dunia, cukup sekadar menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab........

Mama sudah lelah melayani karenah dunia yang semakin sakit kerana pembawa penyakitnya semakin banyak....Namun daya apakah kita menahan semuanya, sedangkan tiada sesuatu pun yang bergerak dalam dunia ini tanpa izin Allah swt. Justeru, kita perlu belajar menjadi muslimah yang baik, kita perlu belajar memilih jala dan cara hidup, dan belajar mendidik hati agar tidak tergoda dengan kenikmatan dunia yang akan musnah...... dunia ini tidak kemana, kita yang bakal meninggalkan dunia.

~

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda....