Tuesday, June 14, 2011

MENJADI ISTERI CEMERLANG MELALUI ASMA UL HUSNA

Saya ingin kongsikan sesuatu yang baru saya terima dari seorang kenalan. Ia amat membantu kita yang mudah lupa diri bila marah atau kecewa. atau cemburu atau pun berpaling dari kasih Allah.  Jom kita bangkitkan semula rasa kecintaan dan kesedaran kepada Yang Maha Agung.

Sumber : Ananymous dari Emel yang diterima

Layarilah bicara hati ini dengan penuh tunduk, tawadduk dan penuh kerendahan hati kepada Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi, semoga dirimu dapat mencari jawapan kepada persoalan hidupmu selama ini.

 1.2.    Siapakah Diriku?

Sesungguhnya Engkau Ya Kholiq (Yang Maha Pencipta) yang telah menciptakan diriku daripada tanah yang hina dan kemudian dari air mani yang juga hina, dari tiada kepada ada. Engkau Ya Kholiq Yang Maha Pencipta dan Ya Malik Yang Maha Berkuasa dan Raja Yang Memiliki Segala Isi Langit dan Bumi telah ciptakanku dan sesungguhnya diriku hanya ciptaanMu dan hambaMu yang dulunya tiada dan kini ada.

Engkau Ya Wahhab Yang Maha Pemberi telah memberikanku segala kesempurnaan tubuh badan, pakaian, rezeki dan juga Engkau Ya Wadud Yang Maha Pencinta telah mengurniakan CintaMu kepada suamiku dan diriku, yang dengan rasa CintaMu itulah kami membina rumahtangga ini sehingga kehari ini.

Sesungguhnya diriku adalah seorang isteri yang Engkau kurniakan sedikit WadudMu (CintaMu) untuk ku curahkan kepada suamiku demi melaksanakan tugas KhalifahMu di dunia ini. Engkau telah menugaskan diriku sebagai seorang isteri agar memberikan cinta yang tulus yang telah Engkau, Ya Jalil Yang Maha Tulus dan Ya Quddus Yang Maha Suci ilhamkan kepada diriku.

 Dengan sedikit WadudMu, JalilMu dan QuddusMu inilah, diriku melayarkan bahtera rumahtangga dan denganNya lah diriku menghadapi segala gelombang dan badai yang sentiasa Engkau, Ya Rahman. Ya Rahim berikan. Kerana dengan menghadapi gelombang dan badai inilah, kami akan bangkit dengan kekuatanMu Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Ya Qawwiy Yang Maha Memiliki Kekuatan dan Ya Matin Yang Maha Sempurna Kekuatan dan Maha Teguh untuk membina satu rumahtangga yang padu dan kuat bagi melahirkan dan membina generasi hambaMu yang taat dan patuh kepadaMu.

Ya Allah, Ya Mani’ Yang Maha Mencegah, Engkau telah menjadikan diriku seorang isteri yang Engkau tugaskan untuk menjadi wakilMu bagi mencegah suamiku daripada melakukan dosa dan lalai kepadaMu. Perasaan cemburu, sayang dan rindu yang Engkau Ya Rahman Ya Rahim berikan kepada diriku yang lahir dari sifat Ya WadudMu itu adalah semata-mata untuk mencegah suamiku daripada tergelincir daripada landasan fitrahMu. Diriku harus menggunakan perasaan itu sebaik mungkin agar tidak bercampur dengan bisikan nafsu dan syaitan yang hanya ingin memecahkan rumahtangga yang terbina daripada Ya Rahman, Ya Rahim dan Ya WadudMu Ya Allah.

Ya Allah, Ya Malik, Sesungguhnya Engkau adalah Raja yang memiliki diriku ini. Diriku milikmu ya Allah, segala apa yang ada pada diriku ini, kecantikanku, kesihatanku, hartaku, wangringgitku hatta suamiku dan anak-anakku adalah milikMu sepenuhnya. Diriku sedar Engkau akan mengambil semuanya itu daripada diriku pada bila-bila masa, dan diriku tidak seharusnya merasa sedih dan kecewa kerana sesungguhnya ianya bukan milikku, Engkau Ya Maha Pemberi telah memberikannya kepada diriku sebagai amanah dan pinjaman untukku melaksanakan tugas khalifahMu didunia ini dan alat bagiku mengutip redhaMu bagi bekalan untuk akhirat nanti.
 
Suamiku yang ku sayangi, kau harus sedar, diriku bukanlah milikmu sayang. Kita adalah milik Ya Malik dan Ya Kholiq. Oleh itu diriku tidak mampu untuk menghambakan diri kepadamu suamiku, kerana diriku hanyalah hamba kepada Tuhan yang menciptakanku dan Tuhan yang telah memberikan seluruh kasih dan sayangNya kepada diriku selama ini.

Suamiku yang ku sayangi, apa yang diriku lakukan kepadamu hanyalah kerana Dia Ya Rahman dan Ya Rahim dan Ya Wadud. Sesungguhnya suamiku sayang, kasih sayangmu, cintamu selama ini kepada diriku adalah sesungguhnya cinta dari Ya Wadud, kasihsayangmu adalah kasih sayang dari Ya Rahman dan Ya Rahim kepada diriku. Oleh itu diriku harus membalas cinta Allah itu dengan taat dan patuh kepadaNya dengan sepenuh hatiku.
 
Maafkanku suamiku sayang, diriku tidak mampu mencintaimu dan mengasihimu melebihi Tuhanku kerana Dia menyayangiku setiap masa, ketika diriku muda dan jelita dan ketika diriku tua dan tidak menawan lagi. Dia mencintaiku ketika kau suamiku akan melupaiku satu ketika nanti, ketika kau sudah tidak merasa diriku menawan dan menarik lagi, tetapi Dia Ya Wadud yang Maha Pencinta tetap mencintaiku dari dunia hingga akhirat walau bagaimana keadaanku sekalipun. Namun suamiku, diriku tetap menyayangimu kerana kau telah mengikut petunjukNya bagi mencintaiku dan melindungiku selama ini.

Suamiku sayang, sedarlah bahawa diriku hanya diutuskan oleh Allah kepadamu untuk kau membalas cinta kepadaNya dan Dia Ya Mani’ Yang Maha Mencegah telah menciptaku sebagai isterimu agar dapat membantumu memelihara dirimu daripada dosa dan lalai kepadaNya kerana Dia mahu kau sentiasa taat dan patuh kepadaNya, kerana dengan taat dan patuh kepadaNya sahajalah yang akan menjamin kebahagiaan hakiki di hari kemudian nanti.

Oleh itu suamiku sayang, sesungguhnya kita ini diciptakan oleh Ya Malik dan dipunyai olehNya dan kita akan kembali kepada Ya Mu’id Yang Mengembalikan dan Dia Ya Muhshi Yang Maha Menghitung akan menghitung setiap perbuatan kita didunia ini untuk diberikan balasan di akhirat nanti. Oleh itu suamiku, marilah kita bersama-sama berjalan diatas permaidani makrifatullah dengan bergantung sepenuhnya kepada Dia Ya Rahman dan Ya Rahim yang sentiasa menyayangi dan mengasihi kita.

 1.3.    Siapakah Diri Suamiku?

Ya Malik, Engkau Sesungguhnya Raja yang Maha Memiliki seluruh makhluq di alam ini dan suamiku adalah milikMu sepenuhnya. Dia adalah hamba kepadaMu ya Kholiq ya Malik. Dia bukan milikku ya Allah. Dia milikMu dan Engkau Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan akan tetap menentukan urusan dan kesudahan suamiku.
 
Suamiku yang ku sayangi, Diriku sesungguhnya tidak memilikimu, dan tidak wajar bagiku merasa kau milikku dan merasa kau tidak akan diambil oleh Allah.

Suamiku yang ku sayangi, sesungguh kau diciptakan oleh Allah Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara untuk mewakiliNya bagi melindungi isterimu ini. Kau diciptakan oleh Ya Haadi, Yang Maha Memberi Petunjuk agar kau mampu memberi petunjuk, memimpin dan membimbing isterimu ini kearah Jalan Allah. Kau juga diciptakan oleh Ya Mani’ yang Maha Mencegah dan Ya Roqib, yang Maha Mengawasi agar kau mampu menjaga, mengawasiku dan mencegahku daripada dosa agar diriku sentiasa taat kepada Engkau Ya Afuw Ya Maha Pemaaf.

Suamiku yang ku sayangi, sesungguhnya kau diciptakan oleh Ya Razak Yang Maha Memberi Rezeki, Ya Ghoniy Yang maha Kaya, Ya Mughni Ya Maha Memberi Kekayaan, Ya Nafi’ Yang Maha Memberi Manafaat untuk kau berusaha bagi mendapatkan kebaikan dan manafaat dunia ini untuk menampung kehidupan keluarga kita agar dengan kehidupan yang sejahtera dapat mewujudkan rasa aman dan bahagia bagi membolehkan kita sekeluarga mengabdikan diri kepada Ya Wahid yang Maha Esa dan kepada Ya Mutakabbir yang Maha memiliki segala kebesaran.

Suamiku sayang, Dia Ya Mumit yang Maha Mematikan mungkin akan mengambil nyawamu pada bila-bila masa. Dia Ya Waaliy yang Maha Mengatur segala urusan mungkin akan mengambilmu dan diserahkan kepada wanita lain dan sekiranya itu ketentuanNya yang Maha Menentukan, diriku tetap redha kepadaMu Ya Muqtadir seperti redhanya Nabi Ismail ketika ingin dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim, kerana sesungguhnya redha kepada ketentuanMu adalah bukti kecintaan sepenuhnya kepada Engkau Ya Dzal Jalali Wal Ikram Yang Maha Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan. Namun, diriku tidak perlu bimbang dan gusar sama sekali, kerana Engkau Ya Rahman Ya Rahim Ya Wadud sesungguhnya sentiasa ada disampingku, sentiasa mengatur urusanku dan melindungiku dengan sifat Ya Waaliy dan sifat ya MuhaiminMu.

Ya Rahman Ya Rahim, Kau mungkin mengambil suamiku daripadiriku hanya kerana ingin membuktikan kasih dan sayangMu kepada diriku, kerana diriku pasti akan menadah tangan memohon, merayu dan merintih kepadaMu Ya Hafidz yang Maha Melindungi, Ya Muhaimin ya Maha Memelihara agar membantuku dan melindungiku dan menyerahkan seluruh harapan dan pergantungan kepadaMu Ya Ghoniy Yang Maha Kaya dan diriku pasti akan memohon kepadaMu Ya Basith yang Maha Melapangkan hidup agar Engkau melapangkan hidupku. Sesungguhnya Engkau mencintai hambaMu yang menadah tangan memohon kepadaMu kerana Engkau mempunyai segala kebesaran dan kemuliaan itu.

Tetapi Ya Rahman, Ya Rahim dan Ya Wadud, diriku yakin dengan kasih sayang dan cintaMu yang melimpah ruah, Kau mampu mencurahkan sedikit cintaMu dari sifat Ya wadudMu kepada suamiku agar dia tetap menyayangiku didunia ini, walaupun diriku sudah tidak menawan lagi dimata kasarnya, kerana keindahan dan kecantikan itu sesungguhnya lahir daripada Engkau Ya Badi’ Yang Maha Mencipta Keindahan dan Ya Barr Yang Maha Baik dan Ya Halim yang Maha Penyantun.

Diriku mohon kepadaMu agar kau curahkanlah sedikit sifat Badi’Mu, BarrMu dan HalimMu kepada ku agar diriku dapat mengindahkan dan menyantunkan diri dan akhlaqku disisi suamiku. Diriku memohon kepadaMu ya Hafidz dan ya Muhaimin agar dia tetap melindungiku dan tidak meninggalkanku di dunia ini. Dan diriku yakin, kau Ya Mujib yang Maha Mengabulkan akan mengabulkan doa dan rayuan hambaMu yang lemah dan tidak berdaya ini. Sesungguhnya Engkaulah Ya Matin, tempat yang paling teguh yang diriku bergantung sepenuhnya dan Engkaulah Ya Samad, tempat meminta dan tempatku curahkan dan luahkan permintaanku didunia ini.
  
1.4.    Siapakah Ibuku?

Ibu yang kusayangi, sesungguhnya kasih sayangmu dan keperihatinanmu kepada diriku selama ini tidak mampu ku balas kerana sesungguhnya semuanya itu adalah sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah, yang Allah campakkan kepadamu ibuku agar kau menyayangiku dan melindungiku sejak kecil sehingga dewasa. Sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah ini lah yang masih kau rasakan walaupun diriku ini sudah bersuami. Kau tetap merinduiku dan ketika diriku balik kerumahmu kau tetap mencurahkan perhatianmu dan kasihmu sebagaimana diriku masih kecil dulu, tidak sedikitpun ada kekurangan yang kurasakan. Kau sentiasa mendoakan  kesejahteraan kepada diriku dunia dan akhirat dengan sifat Ya Salam Yang Maha Sejahtera yang dicampakkan kedalam hatimu.

 Namun ibuku sayang, diriku ini hanyalah hamba kepada Ya Rahman dan Ya Rahim. CintaNya dan KasihNya kepada diriku tidak akan mampu ku tukarkan dengan cinta dan kasih manusia. Maafkanku ibu, kerana diriku tidak mampu menyayangimu dan mencintaimu lebih dari sayang dan cintaku kepada Tuhanku Ya Malik yang Menciptakanku dan Ya Wahhab Yang Maha Pemberi, yang memberiku segala apa yang ku kecapi didunia ini.

Maafkanku ibu, kerana diriku terpaksa meninggalkanmu sentiasa demi melaksanakan tugas khalifah Allah untuk berbakti kepada suami dan mendidik anak-anak bagi membina generasi yang mengenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya. Setiap arahan Allah akan pasti ku taati ibu, walaupun diriku tidak sempat menjengokmu sentiasa, kau masih ku sayangi sepertimana kau menyayangiku sejak masih kecil.

Tetapi sedarlah ibu, walau kau tidak merasa kasih sayangku, kasih sayang Allah Ya Rahman Ya Rahim kepada ibu tidak berbelah bagi, dan Dia tetap mendampingi ibu dan tidak pernah meninggalkan ibu walau sesaat sekalipun. Dia Ya Syakur amat menghargai jasa ibu membesarkan ku sehingga menjadi manusia yang berguna. Dia Ya Aliyy Yang Maha Tinggi Martabatnya tentu akan menaikkan martabat ibu kepada martabat yang tinggi atas pengorbanan ibu selama ini.

Ibu yang kusayangi, sekiranya ibu merasa sunyi, ingatlah kepada Ya Bashir, yang sentiasa menampakkan keagungan dan kewujudannya melalui setiap apa yang berlaku di dunia ini. Dia amat dekat kepadamu ibu, lebih dekat dari urat lehermu sendiri. Dia sentiasa berada disisimu menunggu-nunggu kau merayu dan merintih kepadanya ketika kau rasa kesunyian, ketika kau rasa tidak dipedulikan oleh anak-anakmu. Dia tetap mempedulikanmu ibu, usahlah ibu gusar, bimbang dan sedih. Dia Ya Mukmin akan memberi ibu rasa aman dan tenang.

Oleh itu ibuku, dekatkanlah diri kepadaNya, kepada Ya Hasib, yang Maha mencukupkan, nescaya dia akan mencukupkan keperluanmu. Ibuku, ingatlah kita akan kembali kepada Ya Malik dan Ya Kholiq, Yang Memiliki kita dan menciptakan kita. Persiapkanlah diri ibu dengan amalan mulia agar kita akan berjumpa di akhirat kelak dibawah lindungan Allah. Diriku akan sentiasa mendoakan mu ibu bagi kesejahteraanmu di dunia dan di akhirat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah yang dicampakkan didalam hatiku.
  
1.5.    Siapakah Mertuaku?

Ibu mertua yang kusayangi, sesungguhnya kasih sayangmu dan keperihatinanmu kepada suamiku selama ini tidak mampu dia membalasnya kerana sesungguhnya semuanya itu adalah sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah, yang Allah campakkan kepadamu ibuku agar kau menyayangi suamiku dan melindunginya sejak kecil sehingga dewasa.

Sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah ini lah yang masih kau rasakan walaupun dirinya ini sudah berumahtangga. Kau tetap merinduinya dan ketika dia balik kerumahmu kau tetap mencurahkan perhatianmu dan kasihmu sebagaimana dia masih kecil dulu, tidak sedikitpun ada kekurangan yang dia rasakan. Kau sentiasa mendoakan kesejahteraan kepadanya dunia dan akhirat dengan sifat Ya Salam Allah yang dicampakkan kedalam hatimu.

Namun ibu mertuaku sayang, suamiku yang juga anakmu itu hanyalah hamba kepada Ya Rahman dan Ya Rahim Allah. CintaNya dan KasihNya kepada anakmu tidak akan mampu anakmu tukarkan dengan cinta dan kasih manusia. Maafkan suamiku ibu mertuaku, kerana dia tidak mampu menyayangimu dan mencintaimu lebih dari sayang dan cintanya kepada Tuhannya yang Maha Pemberi, yang memberinya segala apa yang dia kecapi didunia ini.

Maafkan suamiku ibu mertuaku, kerana dia terpaksa meninggalkanmu sentiasa demi melaksanakan tugas khalifah Allah untuk berbakti kepada keluarga dan mendidik anak-anak bagi membina generasi yang mengenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya. Setiap arahan Allah akan pasti dia taati ibu, walaupun dia tidak sempat menjengokmu sentiasa, percayalah, kau masih dia sayangi sepertimana kau menyayanginya sejak masih kecil.

Tetapi sedarlah ibu mertuaku, walau kau tidak merasa kasih sayang anakmu lagi, kasih sayang Allah Ya Rahman Ya Rahim kepada ibu tidak berbelah bagi, dan Dia tetap mendampingi ibu dan tidak pernah meninggalkan ibu walau sesaat sekalipun. Dia Ya Syakur amat menghargai jasa ibu membesarkan anakmu sehingga menjadi manusia yang berguna. Dia Ya Aliyy Yang Maha Tinggi Martabatnya tentu akan menaikkan martabat ibu kepada martabat yang tinggi atas pengorbanan ibu selama ini.

Ibu mertua yang kusayangi, sekiranya ibu merasa sunyi, ingatlah kepada Ya Zohir, yang sentiasa menampakkan keagungan dan kewujudannya melalui setiap apa yang berlaku di dunia ini. Dia amat dekat kepada ibu, lebih dekat dari urat leher ibu sendiri. Dia sentiasa berada disisi ibu menunggu-nunggu ibu merayu dan merintih kepadanya ketika ibu rasa kesunyian dan ketika ibu rasa tidak dipedulikan oleh anak-anak ibu. Dia Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara tetap mempedulikanmu ibu, usahlah ibu gusar, bimbang dan sedih. Dia Ya Mukmin akan memberi ibu rasa aman dan tenang.

Oleh itu ibu mertuaku, dekatkanlah diri ibu kepadaNya, kepada Ya Hasib, yang Maha mencukupkan, nescaya dia akan mencukupkan keperluan ibu. Ibuku, ingatlah kita akan kembali kepada Ya Malik dan Ya Kholiq, Yang Memiliki kita dan menciptakan kita. Persiapkan diri ibu dengan amalan mulia agar kita akan berjumpa di akhirat kelak dan berkumpul disyurgaNya. Diriku dan suami akan sentiasa mendoakan ibu bagi kesejahteraan ibu di dunia dan di akhirat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah yang dicampakkan didalam hati kami.
  
1.6.    Ketika Diriku Ditinggalkan Suami..

Ya Allah, Ya Malik, sesungguhnya suamiku itu kepunyaanmu dan kau mengambilnya daripada diriku kerana dia hanya pinjaman sementara buatku di dunia ini serta amanah yang Engkau akan persoalkan kelak. Diriku ini hanya hambaMu yang tetap akan redha atas segala ketentuanMu kerana sesungguhnya Engkau adalah ya Muqtadir Yang Maha Menentukan. Sesungguhnya suamiku hanyalah hamba kepadaMu dan dia tidak punya apa selain apa yang Kau kurniakan. Cintanya tidak kekal dan akan musnah dan hilang, ianya datang dan pergi bila-bila masa.

Ya Allah, hanya cintaMu kekal abadi dijiwaku ini. Kau masukkanlah rasa cinta kepadaMu ya Wadud agar jiwaku sentiasa tenang dan diriku pasti tidak akan merasa kehilangan kerana sesungguhnya Engkau Ya Awal yang Maha Awal dan Ya Akhir Yang Maha Akhir dan Ya Hayyu Yang Maha Hidup tidak akan meninggalkan ku walau sesaat sekalipun.

Diriku amat yakin segala ketentuanMu ini adalah kerana Engkau Ya Rahman dan Ya Rahim ingin memberikan sepenuh cintaMu kepada diriku dan diriku yakin semuanya mempunyai kebaikan kepada diriku walaupun fikiranku tidak mampu menjangkaunya. SifatMu Ya Allah yang Maha Pengasih, Penyayang, Pencinta, Pemberi Manafaat, Pelapang Hidup, Petunjuk Jalan sudah tentu tidak ingin membuat hambaMu ini menderita, dan sudah tentulah semuanya baik bagiku dan diriku bersyukur banyak-banyak kepadaMu Ya Allah.

Ya Allah Ya Muhaimin dan Ya Hafidz, Engkau pasti akan terus melindungiku walaupun suamiku sudah tiada lagi disisiku. Engkau akan terus memberiku kekuatan kerana Engkau sesungguhnya Yang Maha Kuat Ya Qawiy dan Maha Teguh Ya Matin. Diriku pasti tidak perlu bimbang dan gusar kerana diriku bergantung kepada taliMu yang sangat kukuh Ya Matin.

Ya Allah, Ya Haadi, berikanlah petunjukMu kepada diriku agar diriku mampu mengharungi cabaran hidup ini dan Ya Wahhab, Ya Razzak, Ya Ghoniy, berilah diriku sedikit rezekiMu dan KekayaanMu agar diriku mampu meneruskan hidup ini dan berbakti kepadaMu ya Ilahi. Bangkitkanlah semangatku Ya Ba’its Yang Pemberi Semangat, agar diriku mampu bangun dan bangkit meneruskan perjuangan hidup ini sebagai khalifahMu di dunia ini.
  
1.7.    Ketika Diriku Merasa Tidak disayangi dan dihargai..

Diriku sedar, Ya Allah Ya Wadud dan Ya Syakur akan sentiasa menyayangiku dan menghargaiku walaupun suamiku sudah tidak menyayangi dan menghargaiku. Engkau ya Rahman dan ya Rahim sentiasa akan mencurahkan kasih dan sayangnya kepada diriku melimpah ruah dan tidak ada tolok bandingnya. Engkau Ya Majid Yang Maha Mulia yang akan sentiasa memuliakanku walaupun orang lain menghinaku.

Ya Wadud, curahkanlah sedikit sifat WadudMu, SyakurMu dan MajidMu kepada suamiku dan orang-orang dikelilingku agar mereka mampu mencintaiku, menyayangiku dan menghargaiku kerana dengan cinta dan penghargaan dan penghormatan itulah menjadikan kami sentiasa berkasih sayang dan menghormati satu sama lain.

 1.8.    Ketika Diriku ditegur oleh Suami..

Diriku sedar Ya Allah, ya Mani’ yang Maha Mencegah, ya Khobir yang Maha   Waspada, apabila suamiku menegurku, sesungguhnya Engkaulah yang menegur itu kerana Engkau ingin agar diriku sentiasa berjalan diatas jalanMu yang lurus menuju redhaMu. Diriku harus berterima kasih kepada suamiku kerana mampu menjalankan amanah yang diberikan Engkau Ya Mani’.
 
Ketika suamiku menyampaikan peringatan dan pengetahuan baru, diriku harus sedar itu adalah ilmu Engkau Ya Alim dari Ya Haadi yang Maha Memberi petunjuk dan tentulah diriku akan mengutip setiap ilmu dari Ya Alim itu untuk ku jadikan panduan didalam hidup ini.
  
1.9.    Ketika Diriku Merasa Lemah dan Tidak Berdaya..

Ketika diriku merasa lemah dan tidak berdaya, diriku sedar diriku mempunyai Ya Aziz yang Maha Perkasa, ya Qawwiy yang Maha Kuat dan Ya Matin ya Maha Teguh dan Sempurna KekuatanNya. Dia Ya Aziz tentu akan menguatkanku dan membangkitkan semangatku. Dia ya Wahhab ya Maha Pemberi, Ya Mujib yang Maha Mengabulkan pasti akan memberi dan mengabulkan segala permintaanku.

Ketika diriku merasa kesempitan hidup, kekurangan rezeki dan merasakan sedikit ujian kemiskinan, diriku pasti tidak perlu bimbang kerana diriku mempunyai Ya Basith yang akan pasti mengeluarkanku dari kesempitan hidup dan melapangkan hidupku dan Ya Razzaq akan pasti melimpahkan rezeki kepada diriku tanpa henti dan ya Ghoniy yang memiliki seluruh kekayaan langit dan bumi akan pasti mencurahkan sedikit kekayaanNya kepada diriku agar diriku mampu bersyukur dan mengabdikan diri kepadaNya denga penuh ikhlas dan yakin.

 1.10.          Ketika Diriku Merasa Bersalah dan Berdosa..

Diriku sedar diriku hanya ciptaan Ya Kholiq yang tidak lepas dari kesilapan. Ya Ghofur dan Ya Affuw sudah pasti menunggu-nunggu bilakan diriku menadah tangan memohon ampun dariNya dan Dia sudah pasti akan mengampunkan kesalahanku walaupun sebanyak buih di lautan. Sifat pemaaf dan pengampun Allah tidak ada tolok bandingnya.

Diriku memohon agar sedikit sifat Ghofur dan AffuwMu Ya Allah diberikan kepada diriku agar diriku mampu menjadi seorang yang pemaaf agar diriku mampu memaafkan suamiku, anak-anakku, jiran tetanggaku dan sahabat handaiku, agar dengan sifat memaafkan ini mampu melahirkan hubungan ukhwah yang lebih erat dan seterusnya diriku mampu berbuat baik sesama manusia dan terus mengutip redhaMu Ya Allah.
  
1.11.          Ketika Diriku buntu dan merasa tiada siapa..

Sekiranya diriku merasa buntu dan lemah pemikiran, tentulah Ya Hakim yang Maha Bijaksana, Ya Alim Yang Maha Berilmu dan ya Rashid yang Maha Cerdas akan memberikan kebijaksanaanNya, IlmuNya dan KecerdasanNya kepada diriku agar diriku mampu memikirkan yang terbaik dan Dia tentu akan melapangkan pemikiranku dan kehidupanku kerana Dia Ya Basith yang Maha Pelapang.

Ketika jiwaku merasa keseorangan dan kesunyian, tentulah diriku akan berpaling kepada Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Wadud, Ya Jalil, Ya Sami’ dan Ya Bashir kerana Dialah yang mampu menghilangkan kesunyianku dengan Ar-Rahman, ar-Rahim dan Ya WadudNya yang sangat tulus. Dan Dia Ya Sami’ sentiasa akan mendengar setiap keluhan, rayuan dan rintihanku setiap saat tanpa jemu dan Ya Bashir akan terus melihat kebajikanku dan memberi perhatian kepada diriku setiap saat tanpa henti. 

1.12.          Bagaimana Diriku Menggapai Cinta

Dengan menyerahkan seluruh cintaku buat Ya Wadud, diriku akan pasti mendapat cintaNya, cinta yang tidak ada tolok bandingnya. Ya Wadud akan pasti memasukkan perasaan cinta ini kedalam orang-orang disekelilingku termasuklah suamiku kerana Dia ingin diriku merasai betapa indahnya cintaNya, walaupun sedikit. Apatah lagi cintaNya di akhirat nanti, sudah tentu tidak terjangkau oleh akalku yang cetek ini. Oleh itu diriku menggapai cintaNya dengan menanamkan cintaNya jauh dihati sanubariku dan diriku keluarkan cinta-cinta selain Allah dari hatiku, cinta manusia, makhluq, dunia dan nafsu itu diriku genggam sekuat-kuatnya di genggamanku sebagai amanah Allah.

Diriku sedar cinta makhluq digenggamanku ini akan pergi meninggalkanku pada bila-bila masa dan ketika dia meninggalkanku, diriku akan melepaskannya dengan penuh rasa redha dan syukur kepada Tuhanku kerana kehilangan cinta sementara itu ada kebaikan buatku.

Cinta Allah dihati akan ku jaga sebaik-baiknya yang akan menyuluh hatiku dengan An-Nurnya dan akan menyalakan bintang-bintang dihatiku umpama bintang-bintang dilangit yang akan menjadi petunjuk jalan kepada diriku disepanjang kehidupan ini. Dengan cara ini, jiwaku pasti tenang kerana diriku pasti tidak akan kehilangan cinta yang begitu tulus, suci dan abadi daripada Ya Wadud, Ya Jalil dan Ya Quddus.

 1.13.          Bagaimana Diriku Menggapai Kemuliaan

Kemuliaan itu adalah hak milik Ya Dzal Jalali Wal Ikram Yang Maha Memiliki Kemuliaan dan Kebesaran, Ya Majid Yang Maha Mulia, Ya Adzim Yang Maha Agung dan Ya Kabir yang Maha Besar. Dialah Yang Maha Mulia, dan segala kemuliaan yang dirasakan oleh manusia semuanya milikNya dan beruntunglah orang-orang yang menggunakan kemuliaan dan harga diri ini untuk melakukan kebaikan kepada Allah dan kepada manusia dan rugilah yang menggunakan untuk memuaskan nafsu demi kebahagiaan dunia yang sementara.

Diriku akan bermohon kepadaNya agar diriku ini dimuliakan, dihargai dan dihormati oleh seluruh manusia di dunia ini. Dengan kemuliaan dan harga diri inilah diriku mampu mengharungi perjuangan hidup ini yang begitu mencabar dan penuh duri dan ranjau demi mencari redhaMu Ya Ilahi.
  
1.14.          Bagaimana Diriku Menggapai Kecemerlangan Hidup

Diriku sedar, diriku hanyalah seorang hamba kepada Yang Maha Esa dan Khalifah kepada yang Maha Agung, Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Kebijaksanaan, kecerdasan dan Yang Maha Perancang itu adalah Miliknya Ya Baari’ Yang Maha Perancang, Ya Musowwir Yang Maha Kreatif, Ya Alim Yang Maha Berilmu, Ya Hakim ya Maha Bijaksana dan Ya Rashid Yang Maha Cerdas.

Diriku sedar pada diri setiap manusia yang berjaya itu, ada kurniaan Allah dari sifat Ya Baari’Nya. Ya AlimNya, Ya HakimNya dan Ya RasyidNya. Sesungguhnya kehebatan seseorang itu bukanlah milik dirinya, tetapi milik Allah semuanya dan Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dia mahu dan Dia jua boleh mengambilnya pada bila-bila yang Dia mahu.

Oleh itu diriku akan sentiasa bermohon kepadaNya agar diberikanku sedikit ilmuNya, kebijaksaanNya dan kecerdasanNya, sifat perancangNya dan sifat kreatifNya agar diriku mampu mencipta idea dan perkara baru dalam hidup ini bagi berbakti kepadaNya dan kepada manusia seluruhnya.

Diriku juga akan terus bergantung kepada Ya Haadi yang sentiasa memberi petunjuk kepada diriku jalan terbaik dan Ya Ba’its yang sentiasa membakar semangatku agar diriku mampu mengharungi cabaran kehidupan bagi menempa kejayaan dan kecemerlangan. Dan sudah tentu diriku akan sentiasa mendampingi Ya Aziz agar semangatku sentiasa kuat, ya Matin agar jiwaku sentiasa teguh.

 1.5.          Penutup

Sabahatku, akhirilah penderitaanmu, kesunyianmu, kebuntuanmu dan kegelisahanmu selama ini. Marilah melangkah bersamaku, kita berjalan diatas Permaidani Makrifatullah. Seluruh Asma ‘Ul Husna Allah mampu mencipta keajaiban kepada yang ikhlas bergantung kepadaNya. Diriku amat yakin kepada Ya Mujib yang Maha Mengabulkan yang akan mengabulkan segala permintaan kita ini, Ya Sami’ Yang akan mendengar segala bicara kita ini kerana Dia Ya Rahman Ya Rahim amat kasih dan sayang kepada diri kita.

 Sedikit Panduan:

Setelah berbicara dan bermohon kepada Allah, dengarlah suara hati dan ikutlah suara hati itu kerana itulah dia petunjuk daripada Allah s.w.t. Janganlah dirimu membuat pelbagai alasan untuk tidak melakukannya dan pecahkan segala belenggu yang membelenggumu selama ini. Sesungguhnya selama ini dirimu sering dibelenggu dengan Prasangka Negatif, Pengalaman Pahit, Pandangan yang sempit, Merasa diri cukup berilmu, Prinsip Hidupmu yang goyah, Kepentingan Diri dan Sifat Selalu Membanding-banding dengan orang lain. Tanda itu suara hati ialah jiwa merasa tenang ketika melakukannya dan sekiranya itu bisikan syaitan, jiwa akan meronta dengan penuh penyesalan dan rasa bersalah.

Semoga jiwamu kini merasa bahagia dan damai, semoga dirimu sudah menemui jawapan kepada persoalanmu selama ini, semoga dirimu sudah berjumpa jalan keluar dari segala yang membelenggumu selama ini..

Salam kasihsayang dari seorang isteri kepada seluruh isteri-isteri didunia ini.

Maafkanku sekiranya terdapat kelemahanku didalam bicara ini. Yang baik itu adalah dari Ya Alim dan yang salah itu dari diriku yang masih sedang belajar dari Ya Alim.

Jumpa lagi dilain keluaran insyaAllah.
WASSALAM.

2 jiwa yang tenang:

Apa kata anda....