Friday, April 29, 2011

Kali ni Lelaki kottt............

Assalamualaikum semua. Sekarang ni, setiap kali buat entri, mesti saya rasa nak minta maaf. Bukan apa, walaupun blog saya ni tak sempat kemaskini, tapi ada aja yang menjejakkan kaki ke sini (tak ramai, tapi ada juga, terima kasih !). Jadi saya rasa bersalah bila kunjungan anda semua hampa sebab tiada apa-apa yang baru pun. Saya sibuk melayan karenah anak-anak sambil bekerja dan melayan pening dan batuk. Tak apa. Saya ok je. (Ada ke yang nak tahu? Macam perasan pulak, :) hehe...)

Hari ni, saya nak cerita pasal anak. Okay, kalau ada yang belum tahu, saya ada 6 anak perempuan. Sekarang, saya sedang mengandung anak ke 7, baru 3 bulan. Bila saya jumpa orang, biasanya ada dialog macam ni :

orang : Dah berapa bulan ni ?
Saya : baru 3 bulan...
orang : Alhamdulillah, rezeki........ yang ni lelaki pulak rasanya....... belum ada lelaki kan......


Biasanya saya jawab :


Saya : Tak kisahlah kak lelaki ke perempuan, rezeki daripada Allah, asalkan selamat dan sihat sudah lah.......
Orang : Yelah... betul la tu.......

Okay, saya bukan nak mengumpat, cuma saya nak mereka faham, bahawa rezeki yang diberikan kepada kita, kita mesti redha....... Tak kiralah, apa bentuk sekali pun.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
      Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah" 

( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Anak itu bukan boleh kita dapat di tepi jalan. Ada pasangan, bertahun-tahun berusaha, tetapi tidak mendapat hasil. Ada juga yang menantikan anak perempuan atau pun anak lelaki....... Bermacam-macam cara diusahakan. Tetapi, setiap perkara itu berlaku hanyalah atas kehendak Allah SWT.

Jadi, apa yang perlu kita ingat ialah, apa yang diberikan itulah yang terbaik buat kita. Tidak ada anak bukanlah musibah, tidak ada anak lelaki bukanlah kekurangan, tidak ada anak perempuan bukanlah kesedihan.

Saya suka tekankan Firman Allah SWT yang bermaksud :

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. 

( Surah Al-Baqarah : Ayat 216)

Bukan kita yang menentukan. Kita boleh berdoa, tapi kita mestilah tidak berputus asa atau menyalahkan takdir jika doa kita tidak dipenuhi. Jika kita benar-benar Percaya kepada Qadha dan Qadar, pastinya kita redha dengan setiap apa yang berlaku. Jangan sampai putus asa kita itu membawa kepada bersangka buruk kepada Allah SWT. Semoga kita semua jauh dari sifat tercela itu.

Saya bukan raja yang perlukan waris lelaki untuk meneruskan pemerintahan. Saya hanya manusia biasa yang inginkan kebahagian dunia dan akhirat. Anak perempuan ke, anak lelaki ke, mereka anak yang dianugerahkan Allah kepada saya. Saya akan berusaha supaya sentiasa bersyukur dengan rezeki yang indah ini.

Lelaki ke, perempuan ke, yang penting, mereka tetap saya cuba didik menjadi hamba Allah yang bertaqwa. InsyaAllah.

Monday, April 18, 2011

Ketenangan dalam kekalutan ?

Assalamualaikum semua.... dah lebih separuh bulan April berlalu, tetapi, baru hari ini jari saya bersemangat menitipkan sesuatu buat yang sudi berkunjung ke blog saya ini. Maaf kepada yang hampa melihat tiada entri yang baru. Banyak juga perkara dan idea tersimpan dalam kepala tapi tak mampu nak dicurahkan kerana kesihatan yang tak mengizinkan. Bukanlah sakit teruk, cuma, kepala pening bila menghadap pc atau laptop lama sangat. Baru nak mula mencoretkan sesuatu, pening pun datang.

Tapi setelah lebih sebulan menanggung situasi begini, rasanya, dah tak mahu menghiraukan sangat kepala yang pening walaupun pening tu tak pernah pergi. Allah menduga hambanya mengikut kemampuan. Saya tahu, saya mampu menanggung dugaan ni. Semangat harus saya kumpul demi menjalani hari-hari yang tiba. Setakat menjalankan kerja-kerja rumah, tiada masalah. Dengan bantuan anak-anak dan suami, boleh selesai semuanya dengan baik.

Secara jujurnya, saya terhenti dari menulis bukan setakat dugaan kesihatan fizikal, tapi juga minda yang terganggu kerana terlalu banyak perkara yang ada dalam fikiran saya ni. Antara yang paling menjejaskan ialah, keadaan diri, keluarga dan anak-anak yang masih belum memuaskan hati sebagai sebuah keluarga Islam. Masih banyak kekurangan dalam keluarga kami.

Kenapa? Perhatikanlah keadaan dunia sekarang, tanda-tanda kecil hari kiamat, sudah hampir kesemuanya terlihat. Rasanya dunia sekarang berada beberapa tahun saja lagi dari kehadiran Imam Mahadi. Saya selalu rasa berbaloikah saya sibuk menatap blog, facebook, dan lain-lain, sedangkan masa yang ada lebih baik saya isi dengan sesuatu yang lebih baik ? Saya sangat terganggu dengan semua itu. Malaysia sendiri dalam keadaan menyedihkan. Fitnah sesama islam di sana sini. Wanita semakin pelik. Ibu bapa semakin alpa. Anak-anak semakin biadap. Islam semakin dibelakangkan.

Saya kadang-kadang berfikir, berapa ramai yang percayakan hari kiamat ? Berapa ramai yang percayakan Syurga dan Neraka ? Berapa ramai yang percaya azab di alam kubur itu benar ? Yakin kah kita menghadapi hari keluarnya Dajjal ? Saya berdoa semoga keluarga saya dilindungi dari kejahatan Dajjal Laknatullah. Kadang-kadang saya terfikir, kalau kami sekeluarga mati sebelum tibanya Dajjal pun saya redha, kerana saya tak tahu, tinggi mana tahap keimanan saya sebenarnya. Hanya Allah yang tahu. Memang perkara ini yang memberatkan kepala saya beberapa minggu ini. Saya tak tahu orang lain, tapi saya takut. Saya sangat takut memikirkan keadaan saya semasa ajal. Semoga Allah teguhkan akidah dan keimanan kita semua.

Sangat sukar mencari penenang jiwa di tengah-tengah kekalutan dunia. Semoga Allah sentiasa bersama dan menyuburkan jiwa-jiwa yang layu. Semoga Allah memberikan saya kekuatan untuk menuliskan sesuatu yang berguna di blog ini berterusan. InsyaAllah....Amin.