Wednesday, February 16, 2011

IDOLA MU ? IDOLA KU.........

Siapa yang ada idola ? Siapa idola awak? Hmmmm...awak faham tak maksud idola tu ? Idola tu ialah seseorang yang kita jadikan contoh untuk kita suka dan kita ingin menjadi seperti dia.

Kita akan dengar anak-anak remaja kebiasaannya memilih golongan artis atau ahli sukan untuk dijadikan idola. Mungkin mereka melihat kejayaan artis itu, atau kebijaksanaan artis tersebut membahagi masa untuk menghibur, menjaga kecantikan diri dan memiliki kemewahan sebagai pendorong untuk mereka mengejar impian mereka.

Ada juga di antara kita yang memilih ahli korporat atau politik untuk dijadikan contoh setelah melihat kepada kejayaan mereka, semangat dan kesungguhan tokoh itu yang membuatkan mereka mencapai satu level yang tinggi di mata masyarakat.

Jika kita faham pada sudut agama, sebenarnya kehidupan di dunia ini hanyalah satu jangkamasa yang diberikan untuk kita mempersiapkan diri untuk memilih 'Tempat' kita di akhirat kelak. Jadi wajarkah kita menjadikan Justin Bieber, Madonna, Dato' Siti, Anuar Zain dan ramai lagi artis yang di pilih untuk menjadi ikutan kita? Jika kita jadikan ahli politik yang berjaya seperti DR.M sebagai idola, adakah kita juga akan menjerumuskan diri dalam kancah politik hingga di akhir usia kita ?

Jika begitu, apa pula bekalan yang kita bawa untuk ke akhirat nanti ?Bukan saya katakan pilihan itu tidak baik, tetapi ia adalah pilihan yang akan membuat kita melalui jalan yang salah.

Kita boleh melihat cara dan kesungguhan mereka untuk mencapai tahap mereka sekarang sebagai satu cara untuk kita mencapai kejayaan kita. Mereka itu semua, yang saya tahu, tidak pernah kenal erti jemu, penat malah mereka suka kepada apa yang mereka laukan.

Jadi, bila kita ikhlaskan hati untuk mempelajari selok-belok fardhu ain, tauhid dan banyak lagi cabang dalam islam dengan kesungguhan, kesabaran, tekun dan hati yang suka, pasti kita akan mendapat keredhaanNYA yang abadi.

Cuba kita dalami ilmu sirah. Saya pasti kita akan temui tokoh yang paling berwibawa dan memang di hantar untuk dijadikan idola oleh manusia -------> Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah insan yang paling tepat untuk dijadikan idola.

Cara pemikirannya, cara pertuturannya, kasih sayang dan kelembutannya, ketegasan dalam melaksanakan suruhan ALLAH, keberanian dalam menegakkan kebenaran, kesabaran dalam mengharungi tentangan dari kaumnya sendiri, kemurahan hati kepada umat manusia seluruhnya, amanah dan jujur dalam melakukan setiap sesuatu, dan banyak lagi sifat-sifat terpuji Rasulullah. Bagindalah yang disebut-sebut di dalam alQuran. Baginda lah yang digelar kekasih Allah.

Dimana perkara yang dikatakan tidak boleh menjadikannya idola kita? Kerana dia hidu di zaman terkebelakang dan tidak canggih ? Rasulullah cukup canggih kerana tidak perlu kapal terbang atau roket untuk naik ke langit. Rasulullah cukup canggih kerana dapat melihat orang yang duhukum di neraka dan yang mendapat nikmat di syurga tanpa perlu scan apa-apa. Rasulullah cukup canggih kerana boleh menyebarkan Islam dengan cukup luas tanpa jaringan internet !

Siapa idola saya ? Idola saya ialah Saidatina Aisyah RA dan tentunya Muhammad Rasulullah SAW. RASULLULLAH diturunkan oleh ALLAH SWT kepada umat manusia untuk dijadikan contoh dalam menjalani kehidupan seharian sebelum hari Perhitungan kelak.

Kenapa? Tentang Rasulullah SAW, telah saya huraikan secara ringkas.

Bagi wanita, Siti Aisyah adalah lambang wanita yang amat berperibadi tinggi. Beliau cantik, baik, taat, bijak, penyayang, pengajar yang baik, isteri solehah, madu yang bertimbang rasa dan pemaaf. Memang ada perselisihan faham dalam rumahtangganya dengan Rasulullah dan mdu-madunya, tetapi beliau tidak pernah menyimpan dendam, malah beliau sentiasa saja bercerita tentang hal yang baik-baik mengenai mereka. Beliau juga sangat penyabar. Beliau juga tidak pernah mengeluh kerana tidak diberikan anak sepanjang perkahwinannya.

Selain Siti Aisyah, seorang lagi isteri Rasulullah yang mesti dijadikan contoh oleh semua isteri umat islam, ialah Siti Khadijah RA. Wanita yang berjaya walaupun janda, tidak pernah bergantung kepada orang lain dan kemudian menyerahkan jiwa dan raganya untuk Allah dan Rasulnya, iaitu suaminya sendiri. Khadijah tidak pernah menunjukkan muka masam bila Kekasih Allah pulang dalam keadaan menggigil selepas menerima wahyu Allah. Khadijah sangat bermurah hati dan tidak pernah kedekut untuk mensedekahkan hartanya kepada umat islam yang memerlukan. Dia yang kaya, kemudian semakin susut simpanannya, juga tidak pernah membangkitkan apa-apa kekurangan kepada suaminya.


Ada lagi ke lelaki di zaman ini seperti Rasulullah ? Ada lagi ke wanita di zaman ini seperti isteri-isterinya itu ? Jadi, tentulah mereka yang selayak-layaknya dijadikan idola. Semoga kita akan berjaya mendekatkan tempat kita di akhirat bersama-sama mereka kelak...... Insya Allah.....Amin....

3 jiwa yang tenang:

Apa kata anda....