Saturday, January 1, 2011

Hangatkanlah kamar suami isteri !

Wah tajuknya... macam jual produk manjakani pulak ye...Hmm, bukan apa, beberapa hari ni ramai pula suami-suami mengadu nasib kepada saya minta nasihat. Semua berkenaan kedinginan isteri di kamar tidur! Saya bukanlah sangat pakar....tetapi saya cuma kasihan melihat sebahagian besar kaum isteri di zaman ini tidak menyedari betapa besarnya tangunggjawab di bilik tidur itu.

Situasi A : 
Pasangan lingkungan 30-an
Isteri saya tidak terbuka dalam hal ini. Dia mudah letih dan kadang-kadang suka mengelak. Saya agak kecewa dan ingin juga membantu dia, tapi dia tak mahu bekerjasama. 

Situasi B :
Pasangan lingkungan akhir 20-an
Saya berterima kasih sebab dia sudi bekerja bantu kami dalam kewangan. Saya tak kisah pun saya buat kerja rumah dan berjaga malam untuk anak kami yang masih kecil. Saya sayangkan dia. Tapi, kami bersama hanya bila dia ada mood. Itulah masalah besar pada saya.

Situasi C:
Pasangan lingkungan 30-an
Isteri saya sibuk sangat dengan urusan rumah dan anak-anak, sampaikan tak ada masa untuk layan saya. Bila masuk bilik, dia terus tidur kerana keletihan. Saya teringin juga dibelai isteri dengan kasih sayang, tapi tak tahu bila boleh dapat layanan macam tu.

Sabda Rasulullah SAW:

Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi ia enggan melayan ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh.
(Riwayat sebahagian Ahli Sunnah)

Ibn Umar berkata bahawa telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu bertanya : "Apakah hak suami ke atas isteri ?"

Jawab Baginda :"  Tunaikanlah hajatnya sekalipun sekalipun engkau berada di atas belakang unta. Jangan berpuasa sunat melainkan dengan izin suami, jika berpuasa juga maka pahalanya untuk suami dan dosanya untuk isteri, Jangan keluar melainkan dengan izinnya, jika keluar juga akan dilaknat oleh malaikat Rahmat dan malaikat azab hingga kembali ke rumahnya. "


Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :
Jika dibenarkan sujud kepada manusia, maka akan ku perintahkan kepada isteri untuk sujud kepada suaminya.


Kaum isteri yang seangkatan dengan ku. Tahukah anda semua, betapa hebatnya dugaan suami kita di luar? Berapa ramai wanita yang berada di luar, yang terlihat oleh suami kita akan bahagian yang tidak sepatutnya dilihat? Bukankah itu telah menggoncangkan imannya? Betapa beruntungnya kita, bila suami kita terasa ghairah nafsunya, tapi dia mengawalnya dan hanya ingin bersama kita sahaja? Bagaimana jika suami kita sama macam suami orang lain, yang curang dan lupa pegangan agama hanya kerana ingin memuaskan nafsu bersama wanita lain?


Perlulah kita ingat, nafsu lelaki itu hanya terletak pada satu perkara. Perkahwinan adalah satu jalan untuk mengawalnya. Namun jika kita sebagai isteri gagal melaksanakan tangungjawab kita, adakah kita mahu salahkan suami yang curang?


Saya faham, keletihan yang tak tergambar bila kita pulang bekerja, menguruskan anak-anak, kemudian memasak dan mengemas rumah. Tapi, jika suami kita bertimbang rasa dan mengambil berat, serta saling bantu membantu, tak ada lagi alasan untuk kita menolak permintaan suami itu. 


Pernahkah terfikir, jika malam itu kita menolak permintaan suami, dan itu membuatkan suami berkecil hati, dan apabila pagi, suami kita sudah tidak ada lagi di dunia ini.... pada siapa kita nak memohon ampun lagi? 


Sedangkan redha suami itu adalah redha ALLAH...........RENUNGKANLAH......




**Entri ini khas untuk 3 situasi di atas dan yang serupa dengannya. Bagi masalah lain, saya akan kupas kemudian insyaALLAH......


Sesunggunya yang baik datang dari ALLAH, dan yang tak baik dari saya sendiri. Maafkan saya jika tersilap bahasa. Wallahu a'lam bissawab....

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda....